Kisah Sebuah Kehidupan

Inilah satira sebuah renungan
tauladan dari hidup si anak adam
berlakon, berlakon
dan terus berdendang
demi mewarnai dunia
yang sering mengundang jahanam

(ayah)
Andai aku punya segala
takkan kubiarkan perut-perut itu
merintih bernada syahdu
meminta barang sesuap rezeki
buat diseka air mata yang mengalir
dari sengsara hidup seorang aku

Andai aku punya segala
akan kusaluti permata-permata itu
dari kemewahan isi dunia
biar terhindar sendu di dada
biar menguntum bebunga di bibir
tertanam di hati sebuah kepuasan
hidup yang tak pernah dilanda badai
tapi aku...

(emak)
Abang
usah diukur tingginya langit
takkan tergapai jua bulan dan bintang
dan mentari tetap jua bersinar

(anak)
Mak, Ayah
lapar...
nak susu mak
nak susu ayah

(emak)
Abang
lihat anak-anak ini
sudah kering air mataku
tangis sudah tiada daya
tapi perut-perut itu perlu diisi
apa cukupkah dengan suatu ratapan sendu?

(anak)
Lapar mak, lapar ayah
ada nasikah dalam periuk?
ikan masin ada?

(ayah)
Maafkan abang sayangku
terleka dari nasib yang tak dicita
hingga terlupa
bahwa mentari esok tetap terbit jua

(emak)
Usah kau gusar abang
aku di sini peneman setia
kaulah pelita hidupku
dan aku rela membiarkan diriku terbakar bersamamu
demi hidup anak-anak yang belum tercipta

(ayah)
Shhh....

(anak-anak tidur dalam kelaparan)

(ayah)
Esok, mentari kan muncul lagi
hidupku pasti kembali berputar
dan semoga embun malam
menghakis sejuta kesayuan di hati
semoga esok yang kuhadapi
bukan lagi mimpi ngeri

Dan malam yang dingin
menyelimut dua keping hati yang sepi
lenyap seketika bicara resah
hapus sejenak irama gusar
yang tinggal hanya secebis harapan
melihat sang anak besar gemilang

Masa bukan lagi ukuran
jasa bukan jua sandaran
dan sang anak
yang hidup disambung nadinya si ayah
yang alir dalam tubuhnya darah si ibu
adalah insan yang tumbuh
mengecap dunia yang sempurna

(anak 1)
Gagahnya diriku seusia ini
hidup dalam arus korporat
berteman dari harta yang bertambun
terlimpah dari titik peluhku
usaha sehayatku

(anak 2)
Akulah pemuda yang punya segala
duniaku hadir bila asap berkepul
menghembus jauh realiti
khayal bersama jarum si doktor tanpa ijazah
dan rumahku
rumahku ada di mana-mana
mahligai usang tinggalan si ayam?
terusan jijik dihuni sisa-sisa?

(anak 3)
Akukah harapan bangsa?
akukah harapan emak dan ayah?
lihat abangku
segak seorang ahli korporat
duit berkepuk hanya mainan
tapi...
apa sumbangannya?
tiada...
ah...! untuk apa dia berjaya?
Bagaimana abangku yang kedua?
sampah atau manusia?
emak?
ah...!
ayah...?
keduanya sama!
hanya leteran dan air mata
bosan! aku bosan!

(emak)
Syukur...
syukur
anakku
sejuk perut ini melihat kau berjaya
tiada lagi semalam ang dicengkam sengsara
tiada lagi mimpi diulit derita
nah...! apa lagi yang kau mahu?
cukuplah kau yang telah berjaya

(ayah)
Ini anakku yang durjana
mencalit lumpur menempa binasa
dunia yang realiti indah
kau kotori dengan najis
kau sampah!
kau sampah!
hidup ibarat bangkai bernyawa

oh anakku..
aku ayahmu
dan aku tetap ayahmu

(emak)
Abang
cinta dan air mataku masih ada untukmu
biarlah permata-permata ini
bebas mencari harga
dari sebuah hidup yang termeteri
usah kau tangisi, abang
usah kau berduka
aku tetap di sis
sehingga usia digamit senja

(ayah)
Bukan sayangku, bukan
aku tak pinta dibalasi
tenaga dan keringat yang pernah menaglir dahulu
bukan pajakanku untuk kemewahan hari ini
cuma
aku menangis mengenang perjalanan hidupku ini
berjayakah aku?
berjayakah aku siapkah dunia yang sempurna buat anak-anakku?
berjayakah aku seorang ayah?
Biar... biar...
bukan wang ringgit yang kujaja
bukan kemewahan yang kudamba
sekadar menangisi nasib seorang ayah

Begitulah rintih seorang ayah
dalam bangga melihat anak membesar
dalam kecewa tatkala anak tersesat

Dan ibu?
ibu menangis tiada lagi
yang tinggal hanya harapan
semoga hidup anak-anaknya terus bahagia

Hadirin
tidakkah kau tahu
betapa peritnya seorang ayah?
betapa pedihnya hati seorang ibu?
dan kau...?
renunglah
renungkanlah...

Sajak ini pernah dipentaskan dalam pentomim pada tahun 2003 (kalau tak salah) semasa kursus untuk PPMS di Pulau Pinang... Aku siapkan sajak ini dalam masa dua hari termasuk hari pengarahan.

Ulasan

Catatan Popular