Cinta Wanita

Sungguh lantang kau bersuara
meminta itu dan ini
dengan pemikiran yang dicanang moden
kau jadikan asas untuk kesamarataan
dalam semua perlakuan dan keputusan
malah terkadang fitrah itu dilanggar
dan kalam-Nya dibelakangkan
semata-mata untuk memuaskan tujuan perjuanganmu yang minoriti
apakah itu sebenarnya puncak yang ingin didaki?

Wahai kau warisan Hawa
ada sebabnya Allah jadikan Adam
diajarinya segala pengetahuan
dilengkapinya segala kemahiran
diangkat martabatnya sebagai makhluk ternama
sehingga para malaikat dan syaitan diperintahkan untuk sujud
kemudian sahaja Hawa dijadikan sebagai pasangan
agar Adam tidak merasa bosan keseorangan
agar umat manusia berkembang
dan kerana si Hawa jugalah sebagai asbab
kita mula bertapak di Bumi
tidakkah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?

Ya benar
wanita tidak dijadikan untuk dipijak sebagai hamba
tidak juga untuk hiburan lelaki semata
bukan juga sebagai tempat untuk melepaskan nafsu amarah
kejadian wanita adalah pelengkap amanah-Nya
agar manusia menjadi khalifah di bawah kekuasaan-Nya

Wanita itu mulia
jangan digadaikan kemuliaan itu atas nama kemodenan
jangan perdagangkan maruahmu untuk kesenangan dunia semata
jadikanlah Al-Quran dan tarbiah Muhammad sebagai pakaianmu
tutuplah mana-mana yang kau dedahkan
bukan tubuh itu yang Allah nilai kerana tubuh itu milik-Nya
tapi hati dan keimananmu yang jadi ukuran
agar ia meneruskan perjuangan Rabiatul Adawiyah
yang buta, pekak dan bisu
namun melihat, mendengar dan mengagungkan kebesaran Allah

Wahai wanita pewaris Hawa
pupuklah jiwamu agar kembali ke jalan yang benar
ajarilah hati-hati kamu agar menundukkan nafsu dan bisikan syaitan
biarlah hati yang bersih itu membawa kamu ke syurga
dan cinta yang kamu tunjukkan
menjadi penyegar keazaman umat Islam sedunia

26 Oktober 2009
UM

Ulasan

Catatan Popular