Dunia tanpa sempadan yang disempadankan...

Aku sampai ke Cawangan Celcom Seremban setelah mengharungi kesesakan jalan yang sukar digambarkan. Seremban banjir dengan kenderaan!

Safiya yang kebosanan tertidur di belakang. Masih dengan uniform sekolahnya, dia begitu lena sekali. Mungkin kepenatan setelah menghabiskan waktu persekolahan hari itu.

Kereta kuletakkan tidak berapa jauh dari bangunan Celcom. Aku lihat ada tiang dan mesin untuk bayaran letak kereta. Tetapi skrin pada mesin itu seakan tidak berfungsi.

Bukan unit itu sahaja, beberapa unit lain juga serupa. Aku anggap ia percuma.

Ruangan meletak kereta di pinggir jalan itu aku tinggalkan. Aku memimpin Safiya menuju ke bangunan kecil yang tertera 'BlueCube' itu.

Hampir tujuh minit menunggu di kerusi berhadapan kaunter, nomborku dipanggil. Aku bangun dan menarik Safiya ke arah seorang gadis yang berdiri di sebelah dalam kaunter. Dia mempersilakan aku duduk.

Aku: Assalamualaikum. Saya nak mohon kad sim gantian.

Aku unjukkan borang yang telah diisi awal tadi. Gadis bernama Nurul Naimah itu mengambilnya.

Nurul: Waalaikumussalam. Sebentar encik ye. Boleh berikan saya kad pengenalan encik? Terima kasih.

Nurul Naimah kelihatan menekan-nekan papan kekunci komputer di hadapannya. Sesekali dia melihat ke kertas yang kuunjukkan tadi. Aku menyerahkan mykad.

Nurul: Encik mohon kad micro-sim ye?

Aku: Ya.

Nurul: Sebentar encik.

Aku: Boleh saya ambil?

Aku mengambil kad pengenalanku yang dibiarkan Nurul di hadapanku. Dia menganggukkan kepala.

Nurul Naimah masih menekan-nekan papan kekunci. Sesekali dia menggerakkan tetikus. Klik. Klik. Klik. Klik lagi. Taip lagi. Klik semula.

Tiba-tiba...

Nurul: Eh....

Aku: Kenapa? Ada masalah ke?

Nurul tidak menjawab. Dia masih klik, klik, klik.

Nurul: Sekejap ye encik.

Aku lihat rakan di sebelahnya berpaling melihatnya yang sudah hilang dari pandangan mataku. Rupanya Nurul Naiah berdiri di belakang tiang yang memisahkannya dengan rakannya itu.

Kemudian, dia kembali ke tempat duduknya.

Nurul: Encik. Saya minta maaf. Saya tersilap klik tadi. Saya tertekan terminate account. Sepatutnya saya buka sahaja line encik.

Aku: Kenapa awak terminate?

Aku mula naik angin. Sudahlah telefon dicuri. Kini akaun aku pun nak dibatalkan?

Nurul: Encik jangan risau. Saya akan bukakan semula akaun encik ni. Cuma nanti akan ada bayaran sebanyak RM10. Takpe. Saya yang aksn bayar. Minta maaf ye encik.

Aku tidak tahu bagaimana untuk bertindakbalas. Hendak dimarah, kesilapan sudah berlaku. Nurul juga sudah meminta maaf. Orang juga ramai. Tidak elok aku buat episod drama sebabak di sini.

Aku: Bila saya boleh guna nombor saya ni?

Nurul menyerahkan sekeping kad yang mengandungi kad sim baharu. Aku mengambilnya.

Nurul: Biasanya dalam dua ke lima jam, encik. Nanti encik cuba selepas pukul 6. Kalau ada masalah nanti, saya hubungi encik. Boleh berikan saya nombor lain yang boleh dihubungi? Isteri encik ke?

Aku: Ok. Awak boleh call isteri saya.

Aku sebutkan nombor isteriku.

Aku: Boleh bagi nombor awak?

Nurul: Boleh.

Dia menulis pada salinan pelanggan borang tadi. Pada borang itu juga ada tertera namanya dan nombor pekerjanya yang dia cop awal tadi.

Nurul: Saya minta maaf semula encik. Memang silap saya. Encik jangan risau. Sebarang kos jika ada, akan saya tanggung.

Aku tahu dia risau. Aku tahu dia tidak mahu aku laporkan insiden itu kepada pengurusnya. Aku tahu dia tidak mahu hal itu mengganggu rekod kerjanya.

Aku bangun dan berlalu pergi bersama Safiya. Marah. Geram. Sakit hati. Bercampur-aduk. Kerana apa? Kerana aku manusia.



Ulasan

Catatan Popular