Siapa Mati Dulu?


Pagi ini, aku teringat kepada seorang rakan yang akhir-akhir ini sering muncul dalam hidup. Sedih aku mendengar kisah hidupnya yang jika aku luangkan masa, boleh kugarap menjadi novel.

Dia seorang kawan yang baik; suatu ketika dahulu. Pernah sebilik sewaktu di asrama. Pernah sekelas juga walau untuk beberapa ketika. Pernah sama-sama dalam pasukan bola sepak dengan dia menjadi pemain sayap yang cukup hebat.

Kini dia muncul dengan perkhabaran yang sungguh memilukan siapa sahaja yang mendengar. Katanya; dia masih belajar dalam bidang ijazah kedoktoran. Tetapi, ada masalah masalah - identiti dicuri, masalah pengurusan bla bla bla... Akibatnya biasiswanya ditahan dan tidak dapat meneruskan pengajian. Malah,sebelum menyambung pelajarannya itu juga, katanya dia berhenti kerja daripada menjadi seorang pensyarah.

Dalam pada itu juga, dia menghadapi masalah yang maha berat. Dia memiliki seorang isteri yang sedang sakit barah. Bersama mereka, Allah kurniakan dua orang anak yang masih kecil. Salah seorang anaknya itu pula sakit. Aku sudah tidak ingat apa punca penderitaan si kecil. Cuma, yang aku tahu sakitnya itu mendambakan bantuan kewangan yang bukan sedikit.

Kemudian, dia diuji lagi apabila si kecil yang sakit itu dijemput Ilahi. Tamat sudah derita si kecil namun si ayah pula menanggung beban hutang bayaran wad yang tertunggak beberapa ribu ringgit. Sudahlah si isteri masih bertarung dengan sengsaranya barah.

Akhirnya, si isteri juga dijemput Ilahi menamatkan kisah hidup yang penuh penderitaan. Tinggallah si ayah bersama seorang lagi anak kecil. Katanya, mereka dipinggirkan keluarga si isteri - sebab utamanya, tidak jelas. Mungkin berkait dengan kematian anak tersayang?

Kawan aku si ayah yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan bertungkus-lumus mahu membesarkan anak yang masih bersamanya. Sudahlah pelajarannya tergantung begitu sahaja. Kerja juga tidak ada. Dia khabarnya berjual barang-barang perhiasan bertulisan khuf. Dengar kata, satu item sahaja sudah boleh mencecah ribuan ringgit (andai laku).

Semenjak daripada berita kehidupannya itu menjengah ke telingaku, aku telah cuba sebaik mungkin untuk membantunya dari segi kewangan. Sudah acapkali aku masukkan sejumlah wang ke dalam akaun isterinya yang masih belum luput (walau sudah didaftarkan kematiannya) untuk membantunya meringankan beban sehingga dia mampu menjual barang-barang jualannya.

Selalu juga dia kesempitan: sama ada untuk barangan keperluan rumah; atau membeli susu tepung anak dan keperluan lain; membayar bil utiliti rumah dan sebagainya. Sebagai seorang kawan yang cuba memahami, aku hulurkan bantuan seikhlas mungkin.

Tiga hari sudah, cerita yang dibongkarkan seorang kawan kami daripada zaman persekolahan dahulu ibarat melemparkan sebuah bom tangan betul-betul ke dalam kolam persahabatan kami. Habis terpercik keluar semua air jernih kenangan persahabatan yang terbina. Yang tinggal hanya sisa dan keladak penyesalan, kemarahan dan kekeliruan.

Kawanku yang membongkarkan cerita menunjukkan bukti bahawa isterinya masih sihat hidup dan bernafas sehingga kini. Malah anak kecilnya yang dikatakan telah pergi itu juga masih riang tertawa dalam dakapan si ayah. Gambar bertarikh tahun sudah, jika dikira daripada tarikh cerita kematian dikhabarkan, sudah melepasi anggaran setahun. Bolehkah gambar bertarikh itu menipu?

Disebabkan itu, ada kawan-kawan yang menjalankan penyiasatan. Semakan ke atas rekod kematian ahli keluarganya menunjukkan tidak ada sebarang rekod bertulis yang menyatakan kedua-dua mereka telah meninggal dunia. Malah, si isteri masih aktif berkerja di sebuah syarikat perkomputeran dan masih menghantar borang cukai bertarikh April tahun ini! Apakah kegilaan yang berlaku ini? Apakah permainan yang cuba dimainkan oleh si suami, kawanku itu?

Ada kawan-kawan yang menyimpulkan, dia ini adalah 'conman'. Aku tak kisah siapa dia lagi. Yang menjadi kekeliruan kau adalah, bagaimana kawan sebaik dia boleh menipu tentang hal kematian isteri dan anak? Aku yang berkerja di rumah mayat ini juga tidak berani bermain-main dengan hal-hal kematian.

Kerana itu, pagi ini aku tiba-tiba teringatkan frasa dialog dalam satu plot cerita DoReMi, nukilan seniman agung P.Ramlee.

"Kalaulah ada di antara yang berada di sini boleh beritahu siapa yang mati dahulu, saya akan beri dia seratus ringgit".

Maka bangunlah kedua-dua mayat Do dan Minah sambil menjerit-jerit 'Saya dulu, Saya mati dulu' untuk mendapatkan habuan mudah yang ditawarkan. Maka terbongkar segala temberang yang hanya memalukan si anak dan menantu yang membawa kepada penceraian mereka berdua.

Adakah kisah kawan aku ini juga disebabkan untuk mendapatkan wang mudah? Keperitan apakah yang dialami mereka sekeluarga sehingga menggunakan kematian sebagai cara memperoleh wang?


Ulasan

Catatan Popular