Dia Anak Lelakiku Tersayang
Ini anak lelaki aku. Sama sepertiku, dia anak tunggal lelaki. Perwatakannya amat jauh berbeza daripadaku. Jelas dia seorang yang periang, bijak, panjang akal dan cerdik.
Idham Harith nama yang diberikan kepadanya. Aku cuma tulis di Borang JPN pendaftaran kelahiran. Nama itu diilhamkan oleh Allah kepada isteriku. Dia yang berkenan dengan nama Harith. Katanya dia nak anak yang baharu dilahirkan itu kuat berusaha.
Ini gambar ketika raya pertama tahun ini. Syawal yang penuh bermakna buat aku dan keluarga. Inilah Syawal pertama yang benar-benar disambut oleh Harith. Dia berpuasa penuh sebulan Ramadhan tahun ini. Jika nak dibandingkan dengan aku dahulu, aku belum lagi mampu berpuasa penuh pada usia 6 tahun!
Alhamdulillah, Allah kurniakan anak yang penuh kekuatan dan kesungguhan ini kepada aku dan isteri. Semoga pada masa-masa yang akan datang, dia akan menjadi seorang lelaki Muslim yang bertakwa kepada Allah dan bertanggungjawab atas keluarga, yang berani mempertahankan maruah keluarga dan saudara-saudara perempuannya.
Ya Allah. Sesungguhnya aku terlalu sayangkan anakku ini. Namun, selalunya aku tidak pandai menunjukkan kasih sayangku apabila suaraku ditinggikan memarahi perlakuannya yang nakal. Aku tak mahu dia membenciku.
InsyaAllah aku akan jadi seorang ayah yang terbaik untukmu wahai anak.
Ulasan