Cinta Kekal Walau Detik Itu Terhenti
Beberapa bulan sebelum majlis pernikahan kami pada tahun 2007, aku dan tunangku ke Bonia, Alamanda Putrajaya. Dia berhajat untuk diberikan hantaran jam jenama Bonia. Aku ikutkan sahaja.
Kami berdua melihat-lihat deretan jam yang dipamerkan. Cantik-cantik dan menarik. Aku terus berkenan dengan satu 'design' jam yang aku rasakan tidaklah terlalu menonjol tetapi kelihatan eksklusif. Azie pula berkenan dengan sebentuk jam berbentuk segi empat. Dia tidak suka jam berbentuk bulat. Begitu juga dengan cermin matanya.
Kami masing-masing memilih jam yang berkenan di hati. Walaupun harganya tidaklah semahal mana, namun ia akan menjadi tanda bagi suatu ikatan yang sungguh berharga dalam hidup kami.
Kini, jam yang menjadi hantaran isteriku itu telah berhenti berdetik. Apa yang menarik, ia terhenti dengan menunjukkan tarikh 22. 22 Jun 2016; tamat sudah khidmatnya kepadaku. Ironinya, pada tarikh 22 Disember 2007, kami dinikahkan.
Sayangku, biar pun jam ini telah berhenti berdetik, namun kasih sayang abang padamu tidak pernah berhenti. Kaulah pilihan hati ini dari tarikh 22 Disember itu sehinggalah bila-bila pun, insyaAllah.
Ulasan