Langkahmu Masih Jauh


Aku bersyukur dengan kelahiranmu
Tanda betapa agungnya ciptaan Ilahi
Menghidupkan dan mematikan makhluk-Nya
Sedang kita yang mendiami dunia fana ini
Tidak sedar akan ilmu-Nya menyusun tiap satu yang dijadikan
Supaya bumi yang indah ini
Berputar dalam fitrah dan kesempurnaan

Anakku sayang
Menangis aku melihat ibumu jerih perit mengandungkanmu
Apatah lagi pabila tiba saat kelahiranmu
Ibu menanggung derita
Betapa sucinya cinta dan kasih ibu padaku
Betapa mulianya cinta dan kasih sayangnya kepadamu
Kau dilahirkan
Dan ibu yang kesakitan dibedah
Tersenyum melihat raut wajahmu yang merah

Anakku sayang
Saban hari aku melihat kau membesar
Aku dan ibu memberikanmu sepenuh kasih sayang
Jika kau menangis, kami ada untuk menghapuskan air matamu
Jika kau lapar, kami ada untuk mengalaskan perutmu
Jika kau gembira, kami sentiasa ada untuk saling tertawa bersamamu

Anakku
Usahlah takut untuk melangkah
Langkahmu yang pertama barangkali menjanjikan kejatuhan
Namun kau masih punya langkah yang seterusnya
Kau masih perlu menjelajah seluruh bumi Allah ini
Supaya dapat kau kecapi ilmu-Nya
Supaya dapat kau tafsiri keagungan-Nya
Supaya dapat kau fahami maksud kalam-Nya

Anakku sayang
Langkahmu masih jauh untuk ditamatkan
Mulakanlah ia dengan semangat dan tekad yang utuh
Tanamkan dalam jiwamu cita-cita untuk berjaya
Aku dan ibu
Akan berpuashati andai kau berjaya
Setelah segala pengorbanan dan kasih sayang
Untuk melihat kau menjadi manusia berguna

Selamat Hari Lahir Yang Pertama,
Anakku Adni Safiya


Putrajaya
14 Disember 2009

Ulasan

Catatan Popular