Tiang

Tiang

Sudah acapkali Zakiah bertengkar dengan teman serumahnya yang sering mengingatkan tentang tanggungjawabnya menunaikan amanah Allah. Setiap kali Azida bertanya sama ada dia telah mengerjakan solat itu atau solat ini, Zakiah melenting dan menghamburkan kata-kata yang kurang sedap didengar.
“Kau tak payahlah susah-susahkan aku dah solat ke belum. Kau jaga sajalah diri kau tu. Itu urusan aku dengan Allah. Kau tak payahlah nak sibuk.”
Seringkali ucapan ini dikeluarkan oleh Zakiah yang sudah jemu dengan teguran teman serumahnya itu. Pandai pula dia menuturkan bicara bahawa solatnya itu adalah urusannya dengan Allah. Jikalau dahulu sedari awal dia menerima Azida menghuni rumahnya itu, Azida tidak pernah mencampuri urusan hidupnya. Di dalam iklan yang disiarkan oleh Zakiah di laman Mudah.com juga telah dia nyatakan kepada setiap yang berminat untuk menyewa bersamanya supaya menghormati kehidupan peribadinya. Dalam erti kata lain, ‘mind your own business’.
Sejak akhir-akhir ini sahaja Azida selalu menegur tentang solatnya. Selama empat bulan yang lalu, hubungan dia dengan Azida seperti biasa. Jika bersua muka di rumah mereka berbual tentang kerja dan aktiviti hari cuti. Tidak pula Azida mengambil kisah tentang dirinya atau berbicara tentang agama, tentang halal haram. Baru-baru ini ketika Ramadhan menjelang, naik jelak Zakiah menadah telinga mendengar nasihat Azida supaya dia berpuasa. Setiap hari dia dikejutkan Azida seawal jam lima pagi untuk bersahur namun tidak pernah disahut panggilan temannya itu apatah lagi untuk sama-sama bangun bersahur dan bersedia berpuasa.
Bagi Zakiah, dia lebih senang hidup dengan caranya sekarang. Dia selesa untuk bangun seawal jam lapan pagi untuk bersiap ke pejabat. Dia senang untuk menghabiskan masa tengahari dengan bertemankan rakan-rakan sepejabat di restoran-restoran atau di shopping complex. Dia seronok menghabiskan masa petangnya di gim atau pusat kecantikan sehingga waktu Maghrib luput begitu sahaja. Dia senang menjadi penghuni bandar yang hidup mengikut acuan yang ditempanya sendiri. Bukan seperti di kampungnya dahulu. Dia tidak boleh keluar malam-malam hari. Setiap hari selepas Asar, dia ke rumah Tok Amin untuk belajar mengaji. Setiap kali bilal di surau kampungnya melaungkan azan, setiap kali itu juga ibu atau ayah menyuruhnya menunaikan solat.
Kini semua itu telah berakhir. Kali terakhir dia pulang ke kampung hanyalah ketika dia diberitahu akan kematian ibunya akibat dipagut ular semasa menyidai baju di ampaian di belakang rumah usang milik ayah. Ketika itu juga ayah terlantar di hospital diserang sakit jantung, terkejut akan kejadian yang menimpa ibu. Ayah meninggal dunia setelah dua hari ibu menghembuskan nafas terakhir. Zakiah tidak menunggu lama untuk berada di kampung yang sudah tidak bererti padanya lagi. Hari ketiga belum pun berlalu, selesai sahaja ayah dikebumikan, Zakiah sudah memecut laju dengan Hyundai Ascentnya menuju ke kotaraya, meninggalkan sisa-sisa sejarahnya di kampung itu. Sejak dari itu, Zakiah telah melupakan segalanya. Dia lupa pada ibu dan ayah di kuburan. Dia lupa segala pesan dan nasihat ibu. Dia lupa akan ilmu agama yang dipelajarinya. Dia melupakan segala ibadah dan amal yang diwajibkan ke atasnya. Tikar sembahyang sekadar perhiasan di atas monitor komputernya di dalam bilik. Telekung putih pemberian ibu telah lama terperap di dalam almari, di bawah baju-baju lama yang tidak dipakai lagi. Al-Quran yang dibeli ayah tersusun rapi dalam rak buku tanpa pernah disentuh dan dibaca lagi.
Geram benar Zakiah dengan Azida. Baginya, Azida tidak berhak menegur segala perlakuannya. Dia sudah besar. Dia ada hak ke atas dirinya sendiri. Apa salahnya jika sekarang semasa muda ini dia ingin berhibur sepuas-puasnya. Ramai kawan-kawan sepejabatnya berbuat yang sama. Mereka sama-sama menghabiskan malam dengan clubbing di kelab-kelab ekslusif. Dia yang cantik dan bertubuh menarik sering mendapat layanan mesra VIP miang yang sama-sama mengunjungi kelab-kelab tersebut. Kadang-kala dia balik mengikut lelaki berhidung belang untuk bertemankan tidur. Nanti bila sudah tua, dia bertaubatlah. Hidupnya masih panjang. Dia masih terlalu muda untuk mati. Terlalu banyak yang ingin dikecapinya dalam hidup ini.
Semenjak Azida menegurnya sebegitu, sudah dua malam Zakiah didatangi mimpi yang pelik. Dalam mimpinya itu, ada seorang lelaki tua yang kurus dan berbau busuk. Lelaki tua itu sibuk menongkah sebatang tiang besar sebesar sepemeluknya. Tiang itu tinggi sehingga tidak nampak hujungnya. Ada ketikanya, dia menampal tiang yang retak dengan tampalan yang cuma menambahkan retakannya. Ada ketikanya dia hilang dilanda badai dan ribut yang sepertinya ingin merobohkan tiang itu. Ketika itu jugalah Zakiah mendengar jeringan dan pekik lolong serta tangisan manusia di sekelilingnya. Lolongan dan tangisan yang keras itu benar-benar membuatkannya gerun dan sayu.
‘Siapa orang tua itu?. Apa yang dibuatnya dengan tiang besar itu?. Siapa pula yang melolong dan menjerit sebegitu kuat di dalam mimpinya?’ Pelbagai pertanyaan ingin diajukan kepada si tua, namun setiap kali dia cuba mendekati, Zakiah telah pun kembali ke alam nyata. Loceng jam yang dikunci pada pukul lapan menariknya keluar dari mimpinya itu.
Zakiah resah dengan mimpi yang saban hari menjenguk tiba. Dia asyik memikirkan lelaki tua dan tiang besar itu. Dia hairan mengapa mimpi itu datang berkali-kali di dalam tidurnya. Hari itu dia cuba mencari Azida. Dia ingin berkongsi mimpi itu dengan teman serumahnya itu. Mungkin Azida boleh membantunya memahami pengertian mimpi yang aneh itu. Atau setidaknya, dia boleh melepaskan sedikit kerunsingannya itu. Namun Azida tidak pulang ke rumah seperti biasa. Biliknya berkunci kemas. ‘Merajukkah dia pada aku?,’ fikir Zakiah.
Dicubanya menghubungi Azida melalui telefon bimbitnya. Panggilannya tidak berjawab. Pesanan ringkasnya juga tidak berbalas. ‘Merajuk benar gamaknya Azida ni dengan aku,’ fikirnya lagi.
Hari itu segalanya dirasakan tidak sama seperti hari-hari kebiasaannya. Dia tidak bersemangat untuk bekerja. Menjelang petang, Zakiah terus pulang ke rumah. Dia tidak mengikut rakan-rakan ke Spa Jee-Did-It seperti kebiasaannya. Dia mahu lekas pulang ke rumah. Dia mahu bertemu dengan Azida. Ada sesuatu yang tidak enak dalam hatinya tentang ketiadaan Azida. Dia perlu tahu apa yang berlaku.
Sesampainya di rumah, Azida masih tidak kelihatan. Keadaan rumah masih seperti yang ditinggalkan pagi tadi. Zakiah merebahkan diri di sofa di hadapan televisyen LCD di ruang tamu. Televisyen itu tidak dihidupkannya. Zakiah cuma mahu merehatkan badan. Sekejap lagi baru dia mahu masuk ke biliknya untuk mandi. Dia mahu menunggu kalau-kalau Azida pulang dalam sedikit masa ini.
Zakiah mengalihkan badannya. Dia terperanjat apabila di hadapannya berdiri lelaki tua dengan tiang yang besar itu, sama seperti mimpinya malam-malam yang lalu. Zakiah bukan lagi di ruang tamu rumahnya. Zakiah berada di ruang yang hitam kemerah-merahan. Terasa berbahang panasnya walaupun angin kencang bertiup ke arah tiang dan lelaki tua itu. Bau busuk menyesakkan rongga hidungnya. Kali ini, dia dapat melihat dengan jelas wajah lelaki tua itu. Wajahnya menakutkan dengan kulit muka yang sudah hampir tertanggal. Darah kelihatan di serata tubuhnya. Baju panjangnya yang lusuh sehingga ke paras lutut terkoyak di sana sini basah dengan peluh berbaur darah. Kakinya terdedah dan berdarah tanpa ditutupi apa-apa walaupun sepasang kasut. Lelaki tua itu kelihatan amat terseksa dan letih sekali. Namun, tiang itu tidak lepas dari pelukannya.
Zakiah mendekati lelaki tua itu sambil menekup hidungnya dengan tangan. Tidak tertahan dia dengan bau busuk yang semakin kuat apabila langkahnya semakin hampir. Bahang kepanasan semakin dirasainya. Kepanasan itu datangnya dari tiang itu. Bagaimana lelaki tua itu dapat menahan haba sebegitu sedang dia yang berada beberapa kaki jauhnya sudah tidak mampu lagi bertahan.
“Pakcik ni siapa? Kenapa saya ada di sini? Apa yang pakcik buat dengan tiang tu?” Zakiah menegur setelah dia semakin hampir dengan lelaki tua itu. Lelaki itu menoleh ke arahnya tanpa mempedulikan soalannya.
Pelbagai soalan Zakiah lontarkan namun tidak satu pun soalannya berjawab. Ketika itu, ribut melanda ke segenap ruang. Serentak dengan itu, Zakiah terdengar lolongan dan jeritan kuat di sekelilingnya. Zakiah semakin takut. Takut dengan apa yang sedang berlaku.
Tiba-tiba, satu suara yang keras dan kasar seakan-akan menghentak gegendang telinganya. “Wahai Zakiah Binti Nur Anis. Adakah kau sedar bahawa kau telah diciptakan dari kekuasaan-Nya dan kau diangkat menjadi makhluk yang paling mulia di dunia? Masihkah kau ingat akan lafaz sumpahmu untuk menjadi hamba-Nya yang taat dan akur kepada perintah dan larangan-Nya? Apakah kau sedar bahawa saban waktu kau menikmati rezeki yang diberikan oleh-Nya namun kau tidak pernah bersyukur?”
Zakiah terpana mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Dia berasa takut sekali. Dan seperti skrin komputer, dia dapat melihat setiap perlakuannya selama ini. Badannya terasa semakin panas. Peluhnya ibarat air yang mencurah-curah membasahi tubuh. Di hadapan matanya, terpapar tiap dosa yang dilakukan. Jelas kelihatan dia yang sedang bersenang-lenang di ribaan lelaki meneguk air syaitan dan mencemarkan maruah serta harga dirinya. Begitu juga masa-masa yang dihabiskan sia-sia tanpa menunaikan ibadah walau sejenak. Terhimpun sekali siulan para lelaki yang ghairah memandang tubuh gebunya tiap kali dia berpakaian tetapi seperti bertelanjang.
“Wahai Zakiah. Tidakkah kau sedar bahawa kau adalah milik Tuhanmu? Mengapa tidak kau jalankan tanggungjawabmu sebagai seorang hamba? Mengapa tidak kau sempurnakan Rukun Islam yang lima? Mana pergi sumpah dan janjimu untuk menjadi khalifah terbaik di muka bumi semasa roh mula ditiupkan ke jasad? Mengapa kau terus-menerus melakukan maksiat dan kehancuran di muka bumi milik Allah? Mengapa tidak kau jaga kehormatanmu sebagai wanita dan membiarkan mata dan tangan lelaki menjamahmu tanpa segan-silu?”
“Lelaki tua itu adalah amalan kau selama ini. Lihatlah pada keuzurannya. Sama seperti semua maksiat dan kejahatan yang kau lakukan. Maksiat kau terlalu banyak sehingga mencacatkan amalan kebaikanmu. Inikah yang akan kau sembahkan pada Tuhanmu di hari pembalasan nanti?”
“Tiang itu adalah agama yang menunjangi hidupmu. Tiang itu retak kerana kau tidak pernah menguatkannya dengan ibadah. Kau tinggalkan solat sedangkan kau tahu solat itu tunjang agamamu. Kau tinggalkan puasa sepanjang Ramadhan sedangkan kau sedar puasa itu sebagai dinding dari maksiat dan dosa. Kau abaikan zakat sedangkan kau tahu ada bahagian di antara bahagian rezekimu milik insan lain. Kau tinggalkan kalam-Nya sedangkan kau tahu Al-Quran itu adalah petunjuk bagi hidupmu. Kau hidup mengikut nafsu amarahmu sedangkan kau tahu syaitan itu sentiasa mencari-cari peluang untuk menyesatkan umat manusia.”
Zakiah duduk berteleku di tanah yang kotor dan panas itu. Air matanya mengalir bercampur peluh merosakkan solekan di wajah plastiknya. Dia mula sedar kepincangan langkahnya. Adakah masih ada waktu untuk membetulkan segalanya? Atau dia sudah berada di alam barzakh, tempat persinggahan sebelum dosa-dosanya dibalas seksaan neraka?
Suara itu berkumandang lagi. “Wahai Zakiah. Jeritan dan lolongan yang kau dengar itu adalah suara ibu dan bapamu yang menanggung seksaan atas dosa-dosamu. Mereka tidak senang di kubur. Kau sebagai anak, tidak pernah membantu menerangi kubur mereka dengan doa-doamu, dengan amalanmu. Dan mereka terseksa bukan kerana tidak melengkapkanmu dengan ilmu, tetapi kerana kau mengabaikan ajaran dan nasihat yang mereka berikan. Sanggup kau biarkan mereka terseksa dengan maksiat yang kau lakukan? Sanggup kau biarkan mereka merana kerana kau enggan sujud dan bersyukur kepada Allah?”
Zakiah terus bingung mendengar tiap patah bicara yang dihamburkan oleh suara itu. Terbayang raut wajah ibu dan ayah. Terbayang kasih sayang yang mereka berikan selama ini. ‘Benarkah ibu dan ayah terseksa keranaku? Benarkah dosaku terlalu banyak sehingga aku bakal menghuni neraka?’
Zakiah cuba bangun. Dia ingin kembali ke dunia. Dia ingin membetulkan keadaan ini. Dia akan ikut kata-kata Azida. Perlahan-lahan Zakiah menggagahi diri bangun dari tanah yang kotor itu. Dia cuba melangkah pergi tetapi dia tersungkur kembali ke tanah. Mukanya tersembam ke dataran tanah yang berlumpur.
Zakiah bingkas bangun dari lantai. Badannya basah dengan peluh. Dia melihat sekeliling. Ruang tamu rumahnya gelap dengan hanya diterangi oleh limpahan lampu jalan. Tiada lagi lelaki tua dan tiang besar itu. Tiada lagi bau busuk dan hawa yang panas. Tiada lagi suara kasar dan keras menempelaknya. Dia mengurut-ngurut dada. Buat pertama kalinya dia beristighfar. Rupanya dia tertidur tadi dan dalam tidurnya dia bermimpi namun mimpinya kali ini kelihatannya seperti benar-benar berlaku.
Tiba-tiba, pintu rumahnya diketuk dan kedengaran salam dihulurkan. Dalam kebingungan dan ketakutan yang masih menyelubungi, Zakiah bergerak ke pintu setelah menghidupkan lampu ruang tamu dan halaman rumah. Pintu dibuka dan muncul dua orang pegawai polis di hadapannya.
“Maaf cik kerana mengganggu. Ini rumah Cik Azida Binti Md Daud ke?”
“Ya encik. Saya teman serumahnya. Ada apa ya encik?” Zakiah diburu kerisauan. Mengapa kedua-dua orang anggota polis ini bertanyakan Azida di malam-malam hari begini?
“Begini cik. Kami datang untuk memaklumkan kepada cik bahawa Cik Azida telah meninggal dunia akibat kemalangan petang semalam. Kami cuba menghubungi saudara-maranya namun gagal. Kami baru sahaja mendapat tahu bahawa arwah mendiami di alamat ini, jadi kami datang untuk bertemu dengan individu yang mengenali arwah. Kami berharap agar cik dapat membantu kami untuk memaklumkan berita ini kepada keluarganya.”
‘Ya Allah. Adakah ini di antara ujian yang kau turunkan pada aku?’
“Setahu saya Azida tidak ada saudara-mara. Dia anak yatim, encik.”
Zakiah terasa sebak tiba-tiba. Tidak disangkanya teman serumahnya yang baik hati itu telah meninggalkan dia buat selama-lamanya sedangkan Zakiah masih belum mendapatkan kemaafan daripadanya. Terlalu banyak kesalahan baik perbuatan dan tutur katanya yang melampau kepada Azida. Bagaimana mungkin dia dapat memohon kemaafan lagi?
“Jikalau begitu, kami mohon kerjasama cik untuk menuntut jenazahnya di Hospital Sungai Buloh untuk diuruskan. Cik boleh tuntut dokumen-dokumen berkaitan untuk urusan pengkebumian di sana.”
“Baiklah encik. Sekejap lagi saya akan ke hospital.”
Dua anggota polis itu meninggalkan Zakiah yang masih terkejut dengan berita kematian Azida. Zakiah juga masih terkejut dengan mimpi yang baru dialaminya. Mungkin inilah petanda supaya dia berhijrah selagi ada masa. Usia yang muda tidak menghalang kehadiran maut yang tidak diawalkan walau sesaat dan tidak juga dilewatkan walau sesaat.
‘Jika aku yang meninggal dunia dan bukan Azida, apakah amalan yang akan aku bawa ke sana untuk neraca itu membuat timbangan? Pasti sahaja aku akan dihumbankan ke dalam neraka. Alhamdulillah, aku masih punya waktu untuk bertaubat. Ya Allah, bantulah aku untuk kembali ke jalan-Mu yang lurus. Maafkan aku Azida. Aku banyak berdosa kepadamu,’ getus hati Zakiah.
Zakiah bergegas ke bilik air. Dia mengambil wuduk dalam tangisan keinsafan. Dia mahu menunaikan solat Isyak. Zakiah bertekad mahu menunaikan semula semua ibadah yang telah lama ditinggalkan. Dia bertekad untuk meninggalkan segala maksiat yang dilakukan. Dia ingin bertaubat. Dia berasa kasihan pada ibu dan ayah di pusara. Dia mahu menjadi anak yang soleh yang mendoakan kebahagian ibu dan ayah di alamnya. Dia akan terima teguran-teguran Azida dan mengamalkan kembali segala nasihat dan ajaran Islam yang dipelajarinya sejak kecil kerana Zakiah bertekad untuk memperelokkan kembali tiangnya.

Ulasan

Catatan Popular