Xenofobia - 2
2.
3.46 petang – Jabatan
Perubatan Forensik, Hospital Seremban
Safiya menarik daun
pintu lalu membukanya untuk keluar daripada wet
area itu. Pintu besar itu memisahkan antara ruangan pejabat dan kakitangan
dengan kawasan operasi bedahsiasat. Wet
area adalah ruangan yang menempatkan peti mayat, bilik bedahsiasat, tempat
penyimpanan sampel dan bilik menguruskan jenazah. Ruangan itu perlu dipisahkan
daripada clean area bagi meminimakan
sebarang pencemaran yang boleh memudaratkan.
Safiya mengerutkan dahinya sedikit. Dia berasa mual
dengan bau-bauan daripada bilik bedahsiasat yang ditinggalkannya. Bau busuk
mayat bukanlah bau yang ingin dihidunya sepanjang hari itu.
Tiba-tiba dia dihampiri seseorang yang dikenalinya dan
yang memang diharapkan ada di sisinya ketika ini.
“Ha, bagaimana dengan bedahsiasat tadi? Dah tahu sebab
kematiannya? Apa yang misteri sangat?” tanya Harith bertalu-talu kepada Safiya.
Harith merapati Safiya yang masih memakai facemask yang belum ditanggalkannya. Hanya
Safiya yang meninggalkan bilik bedahsiasat itu sedangkan kesemua kakitangan
Jabatan Perubatan Forensik yang bersama-samanya semasa bedahsiasat tadi masih
berada di dalam. Jurugambar polis juga masih ada di dalam.
Perlahan-lahan,
Safiya menanggalkan facemask yang
menutupi hidung dan mulutnya itu. Terserlahlah wajahnya yang ayu yang menjadi
pujaan hati Harith. Namun, Harith dapat mengesan ukiran kegusaran di raut wajah
gadis yang dicintainya itu.
“Kenapa Safiya? Teruk
sangat ke kes hari ni?” gesa Harith yang berjalan beriringan dengan Safiya
menuju ke bilik runding cara. Pintu bilik yang sedia terbuka memudahkan mereka
melangkah masuk ke ruangan itu. Lantas mereka duduk di kerusi yang ada di situ.
Susun atur bilik
itu ringkas. Terdapat sebuah meja bulat dengan enam biji kerusi di
sekelilingnya. Sebiji pasu dengan hiasan bunga plastik diletakkan di atas meja
yang beralaskan sehelai alas meja berwarna putih kekuningan. Sebuah rak besi
yang menempatkan bahan-bahan bacaan ringan diletakkan di penjuru bilik.
Dahi Safiya masih lagi
berkerut. Dia tidak dapat lari daripada memikirkan kejadian yang berlaku di
dalam bilik bedahsiasat tadi. Dia seakan-akan tidak mempercayai apa yang telah
dilihatnya. Baginya, inilah pengalaman bedahsiasat yang sungguh mendebarkan.
Harith yang berada di sebelahnya masih tidak dapat
membaca riak muka Safiya itu. Dia
menunggu sahaja Safiya membuka bicara.
“Kalau aku cakap,
mesti kau susah hendak percaya. Aku rasa aku pun sukar nak terangkan kejadian
yang aku tengok tadi.”
Safiya memulakan
bicara. Dia memandang tepat ke muka Harith. Sungguh serius Safiya ketika ini.
Harith pula yang tidak senang duduk.
“Cakaplah. Kalau
kau tak cakap, macam mana aku nak membuat penilaian sama ada untuk percaya atau
tidak? Kau kenal aku, bukan? Beritahu sahaja apa yang berlaku. InsyaAllah, aku
akan cuba ekstrak mana yang aku boleh.”
Harith menuturkan
kata-katanya dengan lembut sambil tersenyum. Dia cuba menyembunyikan perasaan
igin tahunya akan misteri yang diperkatakan Safiya dalam perbualan mereka di
telefon tadi.
Safiya melepaskan
tangannya ke permukaan meja bulat di hadapannya. Dia memandang Harith. Mungkin
faham dengan isyarat Safiya, Harith semakin merapatkan kerusinya ke arah
Safiya.
“Ini kali pertama
aku saksikan kejadian yang paling aneh sepanjang aku menjadi polis. Tak pernah
aku tengok perkara macam ni dalam mana-mana bedahsiasat yang pernah aku hadiri.”
Harith semakin kaget. Bicara Safiya membangkitkan rasa
ingin tahunya. Hatinya berdebar-debar menantikan luahan kata Safiya.
“Kau ini betullah. Kau buatkan aku tertanya-tanya
sahaja. Beritahulah aku Safiya. Jangan buat aku tertunggu-tunggu begini,” ujar
Harith semakin tidak sabar.
Harith telah mengenali Safiya semenjak tiga tahun yang
lalu apabila mereka sama-sama terlibat secara tidak langsung dengan satu
penyiasatan jenayah di Kajang. Kes kematian yang melibatkan bencana cinta empat
segi. Si isteri yang curang cuba mengaburi mata masyarakat sedangkan dialah
dalang utama pembunuhan suaminya. Dengan kerjasama Harith, Safiya dapat
menyelesaikan kes itu dalam masa seminggu dan merungkai kecurangan yang telah
berlaku selama lima tahun dalam rumahtangga yang kelihatan sempurna.
Sebenarnya, Harith adalah seorang penyiasat persendirian
yang memiliki agensi penyiasatan sendiri. Penglibatan Harith dalam penyiasatan
polis juga disebabkan oleh reputasinya sebagai salah seorang daripada saintis
forensik yang berkreadibiliti tinggi.
Sejak daripada perkenalan mereka itu, Safiya selalu
mengharapkan bantuan Harith dalam setiap penyiasatannya. Dia tahu keupayaan
Harith. Dia mengakui kehebatan manipulasi deria Harith dalam menyelesaikan
masalah.
Untuk kes kali ini, Safiya seperti biasa menghubungi
Harith untuk mendapatkan bantuan dan buah pandangan. Dan Harith dengan rela
hatinya menawarkan bantuan. Bagi Harith, ini adalah peluang yang cukup baik untuk prospek perkhidmatannya. Malah, menjadi satu bonus pula yang tidak mungkin dilepaskan kerana dia akan berpeluang
mendampingi gadis cantik yang mula bertahta di hatinya itu.
Harith masih merenung wajah Safiya yang tertunduk ke
meja. Dia mengamati wajah gadis yang dicintainya dalam diam itu. Wajah Safiya
yang lembut itu mempesonakannya. Gerak tubuhnya melemahkan jiwanya. Safiya
sahaja yang tidak tahu akan rasa hati Harith kepadanya. Atau mungkin dia pun
sama memendam rasa yang serupa?
“Aku dah beritahu kau bukan, arwah ni tiba-tiba jatuh
semasa memberikan syarahannya?”
Harith menunggu beberapa ketika sebelum menjawab ‘ya’.
Dia cuba mengingati fakta kes yang telah dijelaskan oleh Safiya. Ya, kes ini
melibatkan seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan yang dikatakan
pengsan semasa memberikan kuliahnya kepada pelajar. Namun, sebenarnya pensyarah
terbabit telah pun meninggal dunia pada ketika itu juga.
“Semasa Dr. Salmiah melakukan pemeriksaan luaran,
jasadnya kelihatan tidak begitu normal. Walaupun begitu, tiada pula terdapat sebarang
kecederaan mahu pun kesan lebam yang mencurigakan.”
“Apa maksud kau dengan ‘tidak begitu normal’ tu?”
“Masa bedahsiasat tadi, aku pun ada dekat dengan mayat.
Bagi aku, dengan usia arwah, dia kelihatan seperti seorang yang sihat. Susuk
tubuhnya yang sederhana dengan binaan otot yang sempurna, menunjukkan beliau
adalah seorang yang cergas dari segi fizikalnya. Cuma, ada dua perkara yang
kelihatan sedikit pelik. Yang pertama, perutnya agak besar berbanding tubuhnya
yang kurus. Seolah-olah ada sesuatu di dalam abdomennya.”
“Biasalah. Lelaki kurus pun kadang-kadang boleh boroi
juga.” Harith tersenyum. Dia teringat kepada perut kesayangan yang dikendongnya
ke hulu ke hilir.
“Maksud aku bukan perut dia boroi. Tapi bulat membesar.
Macam ada benda lain dalam perut dia,” ujar Safiya bersungguh-sungguh.
Harith terus memandang Safiya. Dia semakin keliru. Ke
manakah ingin dibawa pemahamannya oleh Safiya kali ini.
“Ok. Perutnya besar. Apa yang tidak normalnya?
Mungkinkah dia ada penyakit?
“Nanti aku akan tunjukkan kepada kau mengapa aku kata ia
tidak normal. Sekarang ni, kau dengar dulu penjelasan aku.
“Oklah. Apa perkara kedua yang pelik dengan mayat tu?”
Safiya menghela nafasnya beberapa kali. Jelas, tergambar
dari raut wajah dan perlakuan Safiya, dia benar-benar menghadapi situasi yang
menekan jiwanya.
“Kulitnya.”
“Kenapa dengan kulitnya? Melecur?”
“Bukan. Setiap inci kulit di badannya berkedut-kedut.
Kulit muka. Kulit pada tangan, pada perut, belakang badannya. Keseluruhan kulit pada permukaan tubuhnya berkedut-kedut
macam orang tua. Bukan setakat tua, tapi terlalu tua ibarat sudah berumur 90 tahun atau lebih.”
Safiya menghentikan penjelasannya seketika. Seolah-olah,
dia tercari-cari ayat dan perkataan yang tepat untuk menggambarkan misteri yang
dihadapinya itu. Untuk pertama kalinya, Harith tidak menyampuk kata-kata
Safiya. Dia memberi ruang kepada Safiya untuk menerangkan misteri yang sedang
menghantui.
“Kedut tu pula bukan kedut yang biasa terjadi kepada
orang yang telah berusia lanjut. Kulitnya berkedut dan kering. Seolah-olah
arwah kehilangan air yang banyak dalam waktu yang singkat.”
“Berapa umur arwah?”
“Kalau tengok pada kad pengenalan, usianya baru mencecah
37 tahun dua bulan yang lalu. Takkan orang yang baru berumur 37 tahun dah
berkedut-kedut seluruh badan. Kulit ayah aku yang dah berumur 62 tahun pun
masih tegang lagi. Kedut sikit-sikit saja di sekeliling mata dan bawah leher.
Bukanlah seluruh badannya.
“Ada apa-apa yang lain?”
“Pemeriksaan Dr. Salmiah juga tidak menemukan apa-apa
kesan jerutan atau tanda-tanda seperti sesak nafas. Tiada petechiae. Cyanosis juga
tiada.”
Safiya mengeluarkan kamera digital dari dalam poket
bajunya. Kamera berwarna silver metallic
itu dihidupkan. Dia menekan-nekan punat pada kamera tersebut untuk mendapatkan
gambar yang dikehendakinya. Harith semakin teruja. Penerangan Safiya membuka
mindanya untuk memikirkan sesuatu yang di luar kebiasaan.
“Cuba kau tengok gambar ini.”
Safiya menyerahkan kamera Nikon miliknya kepada Harith.
Kamera itu baharu dibelinya empat bulan yang lalu. Model 1 J2. Kamera lamanya telah rosak ketika dia menyiasat
tempat kejadian di Tasik Biru. Dia terjatuh semasa cuba menuruni tebing tasik
itu menyebabkan dirinya yang tinggi lampai itu tersembam ke gigi air. Kamera di
tangannya pula terhentak ke batu dan jatuh ke dalam air.
Kamera itu berjaya dikutipnya semula namun ia telah
rosak. Nasibnya baik kerana memory stick
di dalam kameranya masih boleh diakses untuk mendapatkan gambar-gambar yang
penting untuk siasatannya.
Harith mengambil kamera dari tangan Safiya. Ringan. Dia
menganggarkan beratnya dalam 250 ke 300 gram sahaja. Kamera itu kecil dan
kelihatan canggih sekali.
Sambil membetulkan kacamatanya, Harith mengamati gambar
yang ditunjukkan pada skrin kamera. Kelihatan di hadapan matanya adalah gambar
mayat dengan kulit yang berkedut-kedut pada keseluruhan tubuhnya. Ada tiga
gambar yang diambil Safiya yang dengan jelasnya menunjukkan kedutan di bahagian
muka dan tangannya.
Harith kehairanan. Bagaimana mungkin seorang pemuda
boleh kelihatan seperti ini? Kulitnya berkedut-kedut di seluruh badan. Mana
mungkin ia terjadi kepada seorang yang berumur di bawah umur enam puluhan. Umurnya
sendiri juga sudah menghampiri ke usia 37 tahun tetapi kulitnya masih menegang.
Harith melihat beberapa keping gambar yang berikutnya.
Kini, baharulah dia faham maksud Safiya keadaan perut arwah yang tidak normal
itu. Harith dapat melihat dengan jelas keadaan perut mayat yang besar membuncit
berbanding tubuhnya yang kurus. Memang sangat aneh!
“Dr. Salmiah kata
apa?” ujar Harith sambil menyerahkan kembali kamera kecil itu.
Safiya mengambilnya dan menekan-nekan punat di sisi
skrin kameranya itu.
“Dia pun tak tahu nak jelaskan macam mana. Kami semua
yang berada di dalam bilik bedahsiasat, masing-masing confuse. Terlalu misteri bedahsiasat kali ni.”
Safiya memandang Harith semula sambil mengunjukkan
kembali kamera tersebut.
“Cuba kau tengok gambar-gambar ini pula. Apa yang boleh
kau simpulkan?”
Harith mengambilnya dan melihat gambar yang ditunjukkan.
Jarinya mengoles lembut skrin kamera untuk meneliti gambar-gambar itu satu
persatu. Setiap gambar menambahkan rasa hairannya.
“Apa pendapat kau?”
Safiya menunggu jawapan daripada Harith. Berkerut-kerut
dahi Harith meneliti gambar yang terpapar di skrin.
“Bukankah ini sepatutnya fresh case? Kenapa organ-organ dalamannya menjadi seperti ini?”
Harith bertambah pelik dan keliru. Gambar yang dilihatnya
itu menunjukkan keadaan organ dalaman yang sudah hampir kering. Mustahil ia
kering kerana tujuh jam yang lalu jasad itu masih bernyawa. Masakan organ
dalamannya boleh menjadi kering seperti ini. Ia seperti telah diawet. Tidak. Bukan
diawet, tetapi disalai. Bagaimana mungkin ia kering dalam tempoh masa yang
singkat?
“Lagi satu. Aku tak nampak walau setitis darah pun
daripada gambar-gambar ni. Ke mana hilangnya darah dia?”
Setakat ini, Harith ada empat persoalan yang memerlukan
jawapan. Keempat-empat persoalan tersebut telah menyesakkan kotak fikirannya.
Yang pertama; bagaimana hendak menerangkan perut seorang
yang kurus menjadi besar membuncit dan bulat? Penyakit splenomegaly? Busung?
Kedua; bagaimana mungkin seorang yang masih muda di
pertengahan usia 30-an boleh berkedut-kedut pada seluruh tubuhnya sehingga
menjadikannya kelihatan tua?
Ketiganya; bagaimana mungkin kesemua organ dalaman
seorang yang masih hidup tujuh jam yang lalu kering dalam tempoh yang sebegitu
singkat? Tidak mungkin ia dikeringkan kerana jasad si mati masih utuh seperti
sedia kala tanpa ditoreh sedikitpun sehinggalah bedahsiasat dilaksanakan.
Dan yang terakhir; mengapa tiada walau setitis darah pun
di dalam jasadnya? Adakah itu penyebab kulitnya berkedut-kedut? Adakah organnya
kering juga disebabkan ketiadaan cecair badan ini?
Harith memandang Safiya. Pandangannya kosong. Fikirannya
menerobos jauh mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang mula membelenggunya.
‘Betullah kata
Safiya. Ini memang suatu misteri yang tidak pernah ditemui’, getus hati Harith bersetuju.
“Kau janganlah tenung aku seperti nak makan aku saja.”
Mata Harith masih tertumpu tepat ke wajah Safiya. Bola
mata itu bergerak-gerak. Cuma ia sebenarnya tidak merenung Safiya. Pandangan
matanya tembus melewati Safiya yang berada di sebelahnya itu. Fikirannya sedang
menerima tekanan dan ia mula bekerja sehingga membuatkan Harith seolah-olah
berada di alam yang lain.
“Harith! Kenapa dengan kau ini?”
Nada suara Safiya yang sedikit tinggi mengejutkan Harith
daripada lamunannya. Mulut Safiya terkumat-kamit masih mengomel yang tidak
dapat ditangkap dek telinga Harith. Terlalu jauh fikirannya menerawang sehingga
tidak dengar sepatah pun kata-kata Safiya.
“Kenapa kau tenung aku lama-lama macam itu? Takut aku
jadinya.”
“Eh, aku tenung kau ke?” Harith menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
“Habis tu? Mata kau tepat memandang aku. Bukan tenung
namanya tu?”
“Maaflah Safiya. Aku tidak berniat untuk merenung kau
tadi. Fikiran aku berserabut sedikit setelah melihat gambar-gambar yang kau
tunjukkan ini. Kau nampak aku seperti merenung kau tetapi sebenarnya tidak.”
Safiya memuncungkan sedikit bibirnya, tanda protes.
“Yelah. Aku taulah. Jadi, macam mana dengan gambar organ
dalaman tu? Aku nak tahu pendapat kau.”
Harith tidak terus menjawab. Dia mencari-cari kata-kata
yang sesuai sambil matanya terus tertancap pada gambar di skrin kamera.
“Aku semacam tak percaya dengan apa yang ada dalam gambar
yang kau ambil ni. Seorang yang baru sahaja meninggal dunia dalam tempoh lebih
kurang lapan jam, dengan jasad yang menua, kehilangan semua darah pula tu malah
organ dalamannya kekeringan. Bagaimana mungkin ia berlaku? Mungkinkah ia
berkaitan antara satu sama lain?”
Harith bersandar ke belakang. Dia menolak sedikit kerusi
menjauhi meja bulat tersebut. Kakinya kanannya diangkat dan disilangkan ke atas
kaki kiri. Serentak dengan itu, dia berpeluk tubuh sambil jari-jemari tangan
kanannya mengusap-usap janggutnya yang sejemput.
“Sebenarnya, kalaulah aku tengok gambar-gambar ni online, atau daripada orang lain, tentu
aku tak percaya. Macam dalam filem thriller
dah gayanya. Nak pula dengan teknologi CGI (computer-generated
imagery), yang tiada pun boleh diada-adakan.”
“Kau ni, ada-ada jelah,” ujar Safiya sambil mengambil
semula kamera dari tangan Harith. “Ni ada satu lagi benda yang aku nak tunjuk
pada kau. Tunggu. Aku cari dulu gambarnya untuk kau.”
Safiya menggerak-gerakkan turutan gambar pada skrin
kameranya mencari gambar yang diperkatakannya itu. Hampir dua puluh saat
kemudian, baharulah dia mengunjukkan semula kameranya kepada Harith. Harith
meneliti objek merah yang membulat yang dipaparkan.
“Apa benda ni?” tanya Harith kepada Safiya sambil
membulatkan matanya. Safiya membalas pandangan Harith dengan tenungannya yang
tajam.
“Kau rasa?”
Harith kembali memberikan tumpuan kepada gambar
tersebut.
“Cuba kau tengok gambar selepasnya.”
Harith menggerakkan punat pada kamera untuk mendapatkan
gambar yang seterusnya. Matanya semakin membulat. Harith semakin kehairanan dan
kebingungan.
“MasyaAllah. Benda ni dalam perut dia? Darah ke?”
Safiya mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Macam mana darah boleh berbentuk bulat macam ini? Ni solid ke masih dalam cecair?”
“Ia masih dalam bentuk cecair tetapi ia terkumpul
seolah-olah solid. Sebab itulah aku cakapkan
tadi, aku sendiri pun rasa susah hendak terangkan kepada kau. Yang kau nampak
tadi memang darah. Dr. Salmiah juga mengesahkannya sebagai darah.”
Safiya berhenti berbicara seketika.
“Bagaimana darah itu terkumpul di dalam perut dan
berbentuk sedemikian, Dr. Salmiah pun tidak dapat mencari puncanya. Bulatan
darah yang berbentuk lebih kepada sfera tu tak keras. Ia masih lagi dalam
bentuk cecair tetapi semacam ada medan kuasa yang memberikan daya tegangan
kepada molekul-molekul darah untuk membentuk bulatan. Ini apa yang Dr. Salmiah
terangkan pada aku tadi. Aku ulang aje ayat yang dia ungkapkan.”
Panjang lebar penerangan Safiya. Penerangan itu pun
diluahkan semula sepertimana yang diucapkan oleh Dr. Salmiah kepadanya semasa
bedahsiasat tadi. Dia sendiri pun kurang faham segala yang diterangkan
kepadanya itu.
Harith memandang muka Safiya. Dia seolah-olah keliru
sama ada untuk mempercayai atau tidak kejadian yang diceritakan oleh Safiya
ini.
‘Subhanallah. Maha
Suci Allah yang tahu segala sesuatu.’
Hati Harith melafazkan rasa takjubnya dengan kejadian
tersebut. Tiada penjelasan yang benar-benar bermakna selain daripada memuji
kebesaran Allah. Selepas menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali, Harith
kembali meneliti gambar tadi.
“Apa jadi dengan darah tu?” tanya Harith.
“Darah tu masih di dalam rongga perut. Dr. Salmiah
mengarahkan agar dilakukan imbasan x-ray untuk melihat ke dalam sfera itu. Mana
tahu, mungkin boleh membantu sedikit sebanyak dalam menjelaskan kejadian ini.”
“Patutlah perut dia besar sedangkan dia kurus. Aku
hairan juga, bagaimana lelaki yang berbadan kurus boleh ada perut yang buncit.
Seperti ada yang tak kena saja. Aku nak tengoklah mayat tu. Aku rasa, kes ni
sudah semakin menarik.”
Harith menolak sedikit lagi kerusinya ke belakang dan
bangun untuk berdiri. Safiya hanya memandang. Kamera digital itu dibiarkan di
atas meja.
“Kau tak boleh masuk ke dalam bilik bedahsiasatlah.”
“Aku tahu. Aku cuma nak tengok dari galeri pemerhati.”
“Galeri dah penuh dengan pelajar-pelajar perubatan.
Bukannya kau tak tahu, student UiTM
buat attachment di sini untuk
pembelajaran perubatan forensik. Macamlah tak biasa.” Ujar Safiya sambil menjeling
kepada Harith.
Harith terkenang kembali rutin kehidupannya hampir tujuh
tahun yang lalu. Dia pernah bekerja di jabatan ini. Pada ketika itu, Harith
adalah seorang Pegawai Sains Forensik pada Gred C41. Dua tahun dia melakar
pengalaman hidup dalam kerjayanya dalam bidang sains forensik. Dua tahun yang penuh
bermakna dalam membentuk dirinya sekarang.
Pada ketika itu juga, dia adalah sebahagian daripada
mereka yang bertugas melaksanakan bedahsiasat. Walaupun Harith tidak terlibat
secara langsung dalam pemeriksaan bedahsiasat, kehadirannya diperlukan dalam
kes-kes tertentu. Terutamanya jika melibatkan kejadian pembunuhan, kesan tembakan,
penemuan tulang dan sebagainya yang lain.
Rutin harian Harith memaksanya berada di dalam makmal di
jabatan itu. Dia melaksanakan analisis toksikologi bagi sampel-sampel biologi
yang diambil ketika bedahsiasat. Keputusan analisisnya sedikit sebanyak dapat
membantu para Dr. dan pakar forensik dalam mengenalpasti sebab kematian.
Ketika dia masih bekerja lagi, para pelajar perubatan daripada
universiti-universiti tempatan datang untuk menjalani latihan di bawah seliaan
pakar perubatan forensik yang ada. Nampaknya, sistem pengajaran dan
pembelajaran yang sedemikian itu masih lagi dilaksanakan sehingga kini. Dia
tahu, andai para pelajar diberikan kesempatan untuk menyaksikan perjalanan
proses bedahsiasat, pasti penuh ruangan galeri itu. Malah ada yang terpaksa
berdiri di atas kerusi untuk melihat sama lantaran ruangan hadapan galeri telah
padat. Tentu sahaja dia tidak dapat menyelitkan diri untuk bersama-sama
menyaksikannya.
Tujuh tahun yang lalu, Harith telah mengambil keputusan
untuk meninggalkan jabatan yang disayanginya ini. Segala-galanya berpunca
daripada sikap dan situasi politik dalaman jabatan yang dirasakannya tidak adil
kepada sebahagian besar anggotanya. Tambahan pula, Harith sendiri merasakan
bahawa dia semakin hilang motivasi untuk bekerja lantaran pelbagai isu di
pejabat yang berlarutan tanpa diselesaikan.
Rasa amarahnya memuncak apabila Ketua Jabatannya seringkali
menunjukkan sikap pilih kasih yang melampau terhadap pegawai tertentu tanpa
mempedulikan kebajikan majoriti kakitangan yang lain. Tambah merimaskannya
adalah apabila pelbagai kesalahan pegawai terbabit disorokkan dan didiamkan sahaja
sehingga menimbulkan pemberontakan secara senyap dalam kalangan kakitangan yang
lain.
Akhirnya, Harith merasakan minatnya untuk berkhidmat di
jabatan itu telah tiada. Baginya, demi masa depan yang lebih baik, Harith
memutuskan untuk meletakkan jawatan dan menceburi bidang penyiasatan forensik secara
serius. Dia lebih senang begitu. Segala ilmu yang diperolehinya selama ini,
dicurahkan untuk membantu pihak berkuasa menyelesaikan jenayah.
Harith tersenyum sendirian. Terlalu banyak yang telah
berlaku dalam tempoh tujuh tahun ini. Dia sendiri telah menempuh pelbagai
pengalaman dan kejayaan hasil usahanya sendiri.
“Kau nak tengok juga ke?”
Pertanyaan Safiya menghentikan lamunannya sebentar tadi.
“Itulah, kalau boleh memang aku nak sangat saksikan sendiri
dengan mata kepala aku ni. Tapi, macam tiada peluang saja.”
“Alah, sekejap lagi mereka akan lakukan imbasan x-ray ke atas perut si mati. Waktu tu
pun, tak ada siapa yang boleh tengok. Kau tunggu sajalah penjelasan Dr. Salmiah
nanti,” ujar Safiya menenangkan Harith. Dia tahu akan keinginan Harith yang
menyemarak untuk menyaksikan sendiri sesuatu yang ajaib seperti itu. Dia
sendiri andai berada di tempat Harith, pasti akan mempunyai perasaan yang sama.
Namun, dia tiada kuasa untuk membenarkan Harith untuk bersama-sama semasa
proses bedahsiasat dijalankan.
Harith masih berdiri. Dia memandang Safiya yang
mendongak sedikit untuk bertentangan mata dengannya. Sekejap sahaja, Safiya
melarikan pandangan matanya. Dia kembali tunduk menghadap meja sambil tangannya
mencapai kamera yang dibiarkan Harith tadi.
Ulasan