Xenofobia


Bab 1:



20 November 2013, Rabu, 7.45 pagi - Fakulti Sains dan Teknologi, USIM

            “Assalamualaikum.”
Munir menunggu jawapan salam daripada Syaiful. Syaiful juga seorang pensyarah di fakulti itu, sama sepertinya. Ada sesuatu yang ingin Munir selesaikan bersama Syaiful terlebih dahulu sebelum kelasnya bermula pagi itu.
Suasana di lobi fakulti pada ketika itu masih tenang. Para pelajar masih belum ramai yang tiba ke fakulti. Kelas mereka hanya akan bermula pada jam 8.15 pagi.
“Waalaikumussalam. Ya, Munir. Nak ajak aku minum ke?”
“Aku dah minumlah Epul. Lagipun, kelas aku sekejap lagi. Aku telefon ni, nak tanya tentang slaid yang aku hantar semalam. Kau dah tengok ke slaid tu?”
Munir mundar-mandir di lobi itu. Beberapa orang pelajar yang lalu berhampirannya memberi salam kepadanya. Salam mereka dijawabnya perlahan sambil melemparkan senyuman. Gadis-gadis yang memberikan salam tadi membalas senyumnya. Manis.
“Maaflah Munir. Aku tak sempatlah nak tengok. Petang semalam ada appointment dengan student. Kau tahu sajalah kalau budak-budak Arab ni. Semua benda nak tanya. Kadang-kadang aku rasa mereka ni tak dengar langsung kuliah kita. Kalau mereka dengar pun, mereka tak faham,” sambut Syaiful menerangkan masalah yang dihadapinya petang semalam.
Mata Munir mengekori langkah pelajar-pelajar genit tadi ke lif. Mereka bukan pelajar kelasnya. Mungkin pelajar baharu. Pandangannya berakhir setelah mereka masuk ke dalam lif.
“Oh, aku ingatkan kau dah tengok. Aku lupa nak beritahu kau. Hati-hati jangan sampai terpegang ke slaid bahagian tepi slide cover.”
Munir menggosok-gosok tapak jari telunjuknya dengan tapak ibu jari. Jari telunjuk tangan kanannya itu telah mongering dan berkedut-kedut sedikit.
“Kenapa pula, Munir?”
“Aku risau, sampel yang aku hantar tu berbahaya. Aku tak tahu asal sampel tu. Aku takut sampel tu meresap keluar dari tepi slide cover.”
“Aku belum tengok lagi. Kotaknya pun aku tak buka lagi. Ada atas meja aku ni ha,” balas Syaiful.
“Tak apalah kalau begitu. Oklah Epul. Nanti lepas kelas aku naik ke bilik kau. Kau ada kelas kah?”
“Aku tak ada kelas pagi ni. Kelas aku petang nanti lepas pukul 3.00. Satu kelas saja. Tapi pagi ni aku ada mesyuarat dengan research team pelajar tahun akhir aku. Mereka nak buat persediaan akhir untuk bawa projek mereka ke Istanbul bulan depan.”
Panjang lebar penerangan Syaiful kepada Munir. Memang Munir sendiri sedia maklum akan kesibukan sahabatnya itu. Dia sudah mengenali Syaiful hampir 12 tahun. Malah, mereka sama-sama menyertai universiti ini 10 tahun yang lalu.
“Kalau macam tu, aku datang sebelum lunch. Kita pergi makan sama-sama kat Bilal Seafood. Boleh?”
“Boleh, apa salahnya. Lebih elok lagi, kalau kau yang belanja.”
“Aku tak ada masalah. Nanti aku datang bilik kau. Ada banyak lagi yang aku nak bincangkan dengan kau ni.”
Munir menamatkan panggilan selepas mengucapkan salam. Dia melangkah ke pintu lif yang tertutup. Butang di sebelah pintu lif ditekannya untuk naik ke tingkat atas.
Setelah lif terbuka, Munir melangkah masuk ke dalam lif. Ketika dia ingin menekan butang untuk ke tingkat 3, dia berasa sakit yang teramat sangat di seluruh tubuhnya. Kepalanya. Belakang badannya. Tangan-tangannya. Kaki dan jari-jarinya. Seluruh anggota badannya terasa sakit seperti dicucuk jarum.
Lif masih belum bergerak dari kedudukan asal. Munir terduduk dan mengerekot di penjuru lif menahan kesakitan. Hampir dua minit dia berkeadaan begitu. Air mata mengalir di pipi menandakan kesakitan yang amat dahsyat.
Setelah kesakitannya berkurangan, Munir kembali berdiri. Dia mengesat pipinya yang basah dengan air mata. Bajunya basah dengan peluh. Badannya dirasakan panas. Dalam kepayahan, butang ke tingkat 3 ditekannya.

*************

Munir melangkah masuk ke dalam dewan kuliah setelah dia merapikan sedikit dirinya di bilik air. Rambut yang kusut telah disikatnya kemas. Kaki baju yang terkeluar dari pinggang seluar telah dimasukkan kembali. Mukanya masih kelihatan merah. Keseluruhan badannya dirasakan panas. Dia berkira-kira untuk ke Pusat Kesihatan USIM selepas kuliahnya selesai nanti. Mungkin dia diserang demam panas.
Dewan kuliah yang boleh menempatkan seramai 60 orang pelajar dalam satu-satu masa itu telah hampir penuh. Suara yang membingitkan telinga sejak tadi mula mereda tatkala para pelajar terperasankan Munir masuk ke dewan. Suara-suara kasar berbual tadi mula menjadi halus dan berbisik sehingga hilang daripada pendengaran. Mereka mula bersedia untuk mendengar syarahan Munir pagi itu.
Munir terus ke meja di hadapan dewan. Dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi yang ditariknya keluar dari bawah meja. Dia berasakan dirinya tidak sihat. Dia demam panas. Kepanasan yang dirasainya mengganggu fokusnya untuk meneruskan kelas. Suhu sejuk dalam dewan kuliah itu pun tidak mampu mengurangkan kegelisahannya akibat rasa panas yang dihadapi.
Beberapa orang pelajar perempuan yang duduk di depan Munir menyedari sesuatu yang pelik berlaku. Mereka dapat menangkap ketidakselesaan Munir ketika itu. Sejak dari awal dia melangkah masuk ke dewan itu, mereka nampak perubahan kepada pensyarah yang masih muda itu.
Kebiasaannya, Munir akan menyapa para pelajar dengan ramah sebelum memulakan kuliah. Terutama sekali pelajar perempuan yang selalu mendominasi tempat duduk hadapan dewan.
Dia juga biasa memulakan syarahannya dengan soalan-soalan trivia. Munir suka menjentik minat pelajarnya terlebih dahulu sebelum mereka disumbat dengan pelbagai fakta sains yang mungkin membosankan. Pendek kata, kelas Munir adalah kelas yang tidak menjemukan malah menjadi kelas yang sering ditunggu-tunggu para pelajarnya.
Namun, hari itu dia kelihatan sungguh berlainan di mata pelajarnya. Azizah adalah antara pelajar yang menyedari perubahan diri Munir. Dia berasakan bahawa Munir sedang menghadapi masalah. Kegelisahan yang melanda dirinya terserlah dari sikapnya yang serba tidak kena.
Azizah dan rakan-rakan yang berada di hadapan dapat melihat dengan jelas bagaimana Munir yang sedang berpeluh kuat kelihatan bersungguh-sungguh berusaha untuk memulakan syarahan. Pen-drive yang tersimpan di dalam poket seluarnya dikeluarkan sedaya upayanya. Dengan susah payah, dia menyambungkan pen-drive itu dengan sambungan USB pada komputer riba yang telah sedia ada di dalam dewan kuliah.
Kemudahan pembelajaran masa kini telah diterapkan dalam sistem pengajaran USIM. Kerana itu, USIM menyediakan komputer riba dan projector di dalam setiap dewan kuliahnya. Walaupun papan putih masih disediakan, namun proses pembelajaran menjadi lebih mudah dan lancar dengan menggunakan bahan pengajaran yang dipaparkan ke layar di hadapan dewan kuliah.
Munir terbatuk-batuk semasa membuka fail yang menyimpan bahan pengajarannya untuk pagi itu. Tangannya terketar-ketar memegang tetikus. Kursor komputer riba bergerak-gerak ke atas dan ke bawah mengikut batuk yang semakin berpanjangan.
Para pelajar di dalam dewan menjadi semakin gelisah melihat keadaan Munir. Mereka tertanya-tanya akan punca kepada keadaan yang menyerang pensyarah kesukaan mereka itu. Dalam pada itu, mereka tidak sedar bahawa minit yang seterusnya bakal menghambat rasional mereka.
Munir sendiri tidak menyangka perubahan padanya itu adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih tragik. Bagi Munir, dia sekadar mengalami simptom sebagai indikasi masalah kesihatannya yang terganggu. Selepas mendapatkan rawatan nanti dan makan ubat yang dipreskripkan doktor, sihatlah dia.
Setelah Munir berjaya memaparkan slaid syarahannya, dia bangun dari duduknya. Baharu sahaja beberapa langkah dia melangkah, dia berhenti sambil memegang bucu meja. Rasa sakit yang dialaminya semasa di dalam lif tadi kembali semula. Dia cuba menahan rasa sakit tersebut. Tangannya menggenggam erat tepi meja. Dia pasti, jika dia melepaskannya, dia akan jatuh terjelepok ke lantai.
Pada masa yang sama, Azizah dan rakan-rakan sekuliah yang lain melihat sesuatu yang tidak mampu dihadam oleh akal mereka. Dari atas kepala Munir, mereka melihat ada wap panas keluar menjadi asap putih yang naik ke bahagian atas dewan. Peluh semakin jelas membasahi ubun-ubunnya dan mengalir ke muka.
Munir kelihatan semakin tidak tentu arah. Pegangannya pada tepi meja itu akhirnya terlepas juga. Dia terhoyong-hayang. Pergerakannya menjadi tidak terkawal. Para pelajar mula berasa cemas. Suasana di dalam dewan kuliah itu menjadi hingar-bingar dengan pelajar yang mula menjadi tidak tentu hala.
Munir memandang ke segenap ruangan dewan kuliah itu. Dia melihat para pelajar yang mula berdiri malah ada beberapa orang yang turun menghampirinya. Namun, dia hanya dapat melihat. Dia tidak lagi dapat mendengar suara dan jeritan pelajarnya yang semakin panik. Lama-kelamaan, pandangan matanya juga semakin kabur dan hilang. Akhirnya Munir rebah ke lantai.
Para pelajar perempuan yang ramai di bahagian hadapan dewan kuliah semakin cemas dan menjerit-jerit. Tidak pasti mengapa mereka menjerit. Mungkin kerana mereka ketakutan. Mungkin juga kerana mereka panik melihat pensyarah mereka rebah di hadapan mereka. Sudahlah wasap putih semakin menebal di ruangan hadapan dewan itu.
Ada beberapa orang pelajar yang menggesa agar dihubungi ambulans. Ada juga yang berteriak agar dimaklumkan kepada pejabat pentadbiran dan dekan. Beberapa pelajar sudah berlari keluar meninggalkan dewan untuk ke pejabat dekan. Seorang dua pelajar juga bergegas keluar untuk pergi mencari pengawal keselamatan. Ada juga yang bertindak cepat menelefon talian kecemasan 999 bagi meminta bantuan perubatan. Malah ada yang cuba bertindak memberikan bantuan kepada Munir.
Beberapa pelajar lelaki yang tadinya telah bangun dari duduk dan turun ke hadapan dewan mula menghampiri jasad Munir yang terbaring di lantai itu. Mereka mengibas-ngibas wasap putih yang menyelubungi tempat itu. Pada ketika itu, jelas pada pandangan mata, mereka menyaksikan penderitaan yang dialami oleh Munir.
Tubuh Munir yang sudah terbaring di lantai itu kelihatan mengejang berulang-ulang kali. Raut wajahnya jelas menampakkan kesakitan yang sukar digambarkan. Panas yang dialaminya tidak mampu ditanggungnya lagi. Dia berasa seolah-olah tubuhnya terbakar. Adakah ini balasan Allah kepadanya yang lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba-Nya?
Mustaqim dan Iqbal adalah antara pelajar lelaki yang cuba memberikan pertolongan kepada Munir. Mereka cuba memegang tangan Munir untuk membantunya bangun namun sepantas kilat pegangan itu dilepaskan. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. ‘Panasnya badan Dr. Munir ni’, getus hati mereka.
Di hadapan mata mereka juga, mereka dapat melihat bagaimana kulit Munir berubah sedikit demi sedikit. Kulit yang semakin memerah itu menjadi kering dan berkedut-kedut. Pada ketika itu, mereka tidak lagi dapat memastikan sama ada pensyarah muda itu masih bernyawa atau tidak. Mereka sendiri berperang dengan rasional mereka sama ada untuk kekal berada di situ atau meninggalkan jasad yang sudah tidak bermaya itu.
Munir yang semakin lemah, tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Dia tidak dapat menggerakkan tangannya. Kakinya sudah tidak menerima arahan otak untuk berusaha bangun. Dia sendiri mendengar degup jantungnya yang kian perlahan. Wasap putih yang keluar daripada tubuhnya itu menambahkan ketakutan ke dalam jiwanya.
Waktu itu, Munir hanya terbayangkan keluarganya yang tercinta. Wajah isteri dan anak-anak terimbas pada pandangan. Wajah emak dan ayahnya yang berada di kampung juga silih berganti. Dia ingin menangis namun tiada lagi air mata yang boleh mengalir. Kesakitan yang dialaminya sudah sampai ke kemuncak pertahanan tubuhnya.
‘Ya Allah. Aku berserah kepada-Mu. Jika ini pengakhiran buatku, janganlah Kau lupakan ahli keluargaku. Bantulah mereka dengan hidayat, rahmat dan rezeki-Mu. Aku tahu, aku sudah tiada daya lagi, Ya Allah. Semoga kematianku ini bukanlah kematian yang sia-sia.’
Munir tidak menghiraukan lagi wasap yang keluar daripada tubuhnya. Pandangan matanya hanya statik ke arah lantai di hadapan mukanya. Bisikan hatinya tadi adalah doa terakhirnya. Malah, ia juga adalah perkara terakhir yang mampu dilakukannya. Perlahan-lahan, nyawanya ditarik oleh Yang Maha Esa.
Mustaqim dan Iqbal yang masih berada di sebelah Munir hanya mampu memandang tubuh Munir yang terbaring kaku di lantai. Tubuh itu tidak lagi mengejang. Malah, pada ketika itu mereka tidak nampak langsung sebarang pergerakan yang dibuat oleh pensyarah malang itu.
Wasap itu masih lagi keluar dari tubuh Munir yang telah kaku. Kali ini ia membawa bersama bau hanyir. Baunya sungguh busuk dan memualkan. Mustaqim dan Iqbal serta beberapa pelajar yang lain serta-merta menutup hidung mereka kerana tidak tahan dengan bau busuk tersebut. Bau itu seolah-olah datangnya daripada bangkai binatang yang telah mati beberapa hari.
Sudahnya, masing-masing menutup hidung dan menjauhi tubuh yang terbujur kaku itu. Mustaqim dan Iqbal berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu, mereka tidak berdaya untuk berbuat apa-apa lagi bagi membantu Munir. Mereka perlu menyerahkan situasi itu kepada mereka yang lebih berautoriti.
Sebilangan besar daripada mereka sudah meninggalkan dewan. Bau busuk itu menghambat mereka untuk bersegera keluar daripada dewan yang tertutup dan terpengap itu. Pintu dewan kuliah dibuka luas bagi membolehkan pelajar yang berpusu-pusu keluar tidak terlanggar sesama mereka. Pintu itu juga dibuka luas agar gas busuk itu keluar bebas dari dewan yang tertutup. Jika dibiarkan begitu sahaja, takut akan memudaratkan mereka yang masih berada di dalam dan yang akan masuk kemudian nanti.
Mustaqim dan Iqbal juga mula meninggalkan tubuh yang terbujur di lantai. Azizah sudah lama keluar bersama-sama pelajar perempuan yang lain tadi. Mereka tahu, perkara yang paling penting sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa mereka sendiri daripada bahaya yang tidak dapat dijangka.
Keadaan mungkin akan bertambah teruk dan berbahaya kepada mereka jika mereka masih menanti di dalam. Lainlah jika mereka dilengkapi alat bantu pernafasan yang boleh membekalkan oksigen dengan cukup. Tambahan pula, mereka tidak tahu apakah gas yang terbebas bersama dengan wasap putih itu. Adakah terdapat karbon monoksida bersama wasap itu? Bagaimana dengan hydrogen sulfida? Adakah ia dibebaskan bersama?

*************

“Mana Dr. Munir? Mana Dr. Munir?” Beberapa orang kakitangan pejabat pentadbiran bertanya kepada para pelajar yang memenuhi laluan antara dewan kuliah itu.
Azman, kerani yang bertugas di kaunter pejabat pentadbiran meluru sehingga ke hadapan pintu dewan kuliah. Namun kemudiannya, dia berpusing balik dan mendapatkan kumpulan pelajar tadi yang berada kira-kira 20 kaki daripada mulut pintu dewan yang terbuka itu.
“Asap apa tu?” tanya Azman kepada pelajar yang berhampiran. Tangan kanannya menutup hidung.
“Kami juga tak tahu. Tapi, asap ni keluar dari badan Dr. Munir.”
Azman dan beberapa kakitangan pejabat pentadbiran kelihatan terkejut. Mereka seakan-akan tidak percaya dengan jawapan pelajar itu.
“Asap dari badan Dr. Munir? Biar betul.”
“Saya tahu encik susah nak percaya. Saya juga macam tak percaya dengan apa yang berlaku. Tapi, kalau encik boleh masuk ke dalam, encik boleh nampak apa yang berlaku sebenarnya. Wasap putih ni memang keluar daripada badan Dr. Munir.”
“Eh, iye ke?”
Ada suara lain pula yang cuba menyangkal keterangan itu.
“Bau ni pun sama?” Bau busuk ni?” Tanya Azman lagi.
“Ya encik. Mula-mula tadi Dr. Munir jatuh ke lantai. Lama dia di atas lantai sampai badannya mengejang. Tak lama lepas tu, ada asap pula yang keluar dari badan dia. Macam mana asap tu keluar, saya pun tak pasti. Ada kawan kami yang nak tolong bangunkan dia. Bila dia pegang tangan Dr. Munir, dia kata tangan Dr. Munir tu panas sangat. Macam terbakar. Kulit dia memang macam udang kena panggang. Merah menyala.”
Pelajar lelaki itu berhenti seketika untuk menyusun kata-katanya. Dia tahu penerangannya itu kedengaran pelik. Namun, jika kakitangan pejabat itu ada bersama ketika kejadian, mereka akan tahu bahawa kata-katanya itu adalah benar belaka.
“Dr. Munir masih di dalamkah?” Tanya Faezah. Di sebelahnya Syahida dan Nurul, pun sama-sama menanti jawapan pelajar tersebut.
“Ya encik. Dia masih terbaring di dalam. Kami pun tak tahu sama ada Dr. Munir masih hidup atau bagaimana.”
“Macam mana pula bau busuk ni boleh ada?” Azman menyambung pertanyaannya yang terhenti tadi. Banyak yang ingin ditanyanya. Tetapi setelah mendengar cerita pelajar itu, dia semakin keliru sama ada untuk percaya atau sebaliknya.
Sempat juga Azman melirikkan matanya ke arah tag nama yang tergantung di leher pelajar tersebut. Mohamad Azam nama yang tertera.
“Bau busuk ni pun kami syak keluar dari tubuh Dr. Munir. Sebab, bila dia dah lama sangat terbaring kat lantai tu, dah tak gerak-gerak, barulah kami terhidu bau ni.”
“Siapa kawan kamu yang kamu katakan tadi, yang kata tangan Dr. Munir macam terbakar tu?”
“Iqbal dengan Mustaqim, encik.”
Mata pelajar itu melilau ke sekeliling mungkin untuk mencari pelajar yang disebutkannya itu. Namun, terlalu ramai pelajar berada di situ. Sukar untuk dia mencari Iqbal mahupun Mustaqim dalam kalangan mereka.
“Nanti kamu minta kedua-dua kawan kamu itu datang ke pejabat pentadbiran. Kami mungkin perlukan bantuan mereka untuk tujuan dokumentasi dan mungkin juga siasatan fakulti. Saya pasti, dekan tentu mahu mendengar perkara ini dengan lebih jelas.”
Pelajar itu mengangguk-anggukkan kepalanya dan berjanji untuk memenuhi permintaan Azman tersebut.

*************

Keadaan di luar dewan kuliah itu semakin kelam-kabut. Ruang laluan yang sempit itu tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Malah, jumlah itu semakin bertambah apabila terdapat pelajar daripada dewan kuliah lain turut sama datang untuk mendapatkan bahan cerita.
Kehadiran Azman, Syahida, Nurul dan Faezah juga tidak dapat membantu meredakan suasana yang hiruk-pikuk itu. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk bertindak menangani keadaan itu. Walaupun mereka mencuba, mereka gagal mengawal kebanjiran pelajar ke ruangan itu. Penyudahnya, mereka hanya menanti kedatangan pengawal keselamatan yang semestinya terlatih untuk menangani situasi seperti itu.
Dalam pada itu, Azman masih juga cuba meminta para pelajar bertenang dan meninggalkan kawasan tersebut. Walaupun ramai yang mematuhi permintaan Azman itu, namun semakin ramai juga pelajar lain yang baharu sampai ke tempat itu. Hasilnya, ruangan itu masih sempit dan tidak terkawal. Masing-masing ingin melihat kejadian tersebut dengan mata kepala mereka sendiri.
Azman yang turut menganggotai jawatankuasa keselamatan dan kebakaran fakulti itu merasakan perlu untuk dia mengawal keadaan. Dia juga tidak mahu sebarang perkara buruk berlaku kepada mereka yang ada di situ. Lebih-lebih lagi, dia tidak tahu punca sebenar wasap putih itu. Ditambah pula bau busuk yang menyesakkan hidungnya. Jika gas itu terbukti berbahaya kepada kesihatan manusia, dia tidak mahu ada pelajar yang menghidunya.
Nasib baik juga terdapat dua unit ventilator yang berfungsi menyedut wasap putih dan bau busuk itu keluar dari ruangan itu. Kedua-dua unit ventilator itu terletak berdekatan dengan pintu utama dewan kuliah tersebut. Jadi, tidaklah wasap itu dan bau busuk terperangkap di ruangan itu sahaja.
“Beri laluan. Beri laluan. Tolong beri laluan ya?”
Kedengaran suara kasar dan sedikit keras meminta diberikan laluan dari hujung laluan itu menghampiri ke muka pintu dewan. Para pelajar yang berkumpul di tengah laluan itu mula menepi untuk membolehkan mereka lalu. Sesudah mereka melepasi kumpulan pelajar yang ramai itu, kelihatan dua orang pengawal keselamatan USIM bersama dengan seorang lelaki dan dua orang wanita. Salah seorang wanita itu berpakaian seragam jururawat manakala lelaki itu pula memakai seluar hitam dan berbaju kemeja putih.


Ulasan

Catatan Popular