Xenofobia - 3



3.
4.51 petang – Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Seremban

            Suasana di dalam bilik runding cara itu sepi seketika. Harith kembali duduk di kerusinya. Dia menghela nafas yang panjang dan kemudiannya tunduk seperti memikirkan sesuatu. Setelah itu, dia mengangkat kepalanya dan menyandarkan belakangnya ke kerusi. Safiya pula sibuk memeriksa telefon bimbitnya untuk membalas pesanan ringkas yang diterimanya semasa dalam bilik bedahsiasat tadi.
Seketika kemudian, muncul seorang wanita kecil molek di muka pintu bilik tersebut. Safiya bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya disambut bersama dengan senyuman manis di bibir wanita itu. Harith turut sama bangun sebagai tanda menghormati wanita tersebut.
Harith kenal wanita itu. Itulah Dr. Salmiah, ketua jabatan baharu di situ. Dialah doktor pakar yang mengendalikan bedahsiasat ke atas si mati. Dr. Salmiah yang masih memakai gaun klinikal berwarna biru duduk di kerusi berhadapan dengan Safiya. Sambil tersenyum, dia menegur Harith.
“Assalamualaikum Encik Harith. Sudah lama kita tak bertemu.”
“Waalaikumussalam doktor. Ya, lama juga dah kita tak berjumpa. Rasanya, akhir sekali kita bertemu pada bulan Julai tahun lalu. Sudah setahun lebih tu,” ujar Harith menyambut kemesraan Dr. Salmiah. Sambil berbicara, dia menundukkan-nundukkan sedikit kepalanya tanda hormat.
Dalam kemesraan yang ditunjukkan oleh wanita yang bertubuh kecil ini, masih jelas terpancar riak kerisauannya. Mungkin Dr. Salmiah turut sama bingung menghadapi kejadian yang di luar jangkaan seperti ini. Suatu kejadian pelik tetapi benar-benar berlaku.
“Juru x-ray baru tiba. Saya biarkan mereka jalankan imbasan dahulu. Sekejap lagi, baru saya masuk semula. Saya nak berbincang sedikit dengan ASP tentang kes ini.”
Dr. Salmiah memulakan bicaranya. Serius. Ringkas tetapi tegas.
Safiya menegakkan tubuhnya di atas kerusi itu. Dia memandang tepat ke arah Dr. Salmiah menantikan sebarang persoalan atau komen daripada Dr. itu.
“Elok juga Encik Harith ada bersama. Boleh kita berbincang bersama-sama.”
Dr. Salmiah yang turut maklum dengan reputasi Harith di dalam bidang penyiasatan dan sains forensik kelihatan sedikit lega apabila mendapati Harith ada bersama-sama mereka pada ketika itu. Harith mungkin boleh membantunya dalam mendapatkan jawapan yang dia sendiri tidak pasti di mana boleh diperolehinya.
“Tentu ASP telah memaklumkan Encik Harith berkenaan keanehan kes ini. Saya percaya Encik Harith juga telah faham atau sudah boleh memahami situasi kes yang serba memelikkan ini.”
Dr. Salmiah berhenti untuk mengambil nafas. Dia kelihatan sungguh berhati-hati dalam menuturkan bicaranya.
“Ya doktor. Maaflah, saya panggil Encik Harith bersama dalam penyiasatan kes ini. Saya rasa saya perlukan bantuan lebih dari segi penyiasatan dan kefahaman sains forensik.”
Dr. Salmiah mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia faham tujuan Safiya. Dia juga bersetuju Harith dilibatkan sama dalam penyiasatan ini.
“Tak mengapalah ASP. Saya tiada masalah. Lebih ramai yang menyumbangkan kepakaran, lebih bagus.”
Dr. Salmiah menghela nafasnya seketika. Sambil memandang Safiya, dia meneruskan bicara.
“Puan sudah ada latar belakang pensyarah ni? Kalau ada, saya nak juga tahu serba sedikit.” Ada kalanya, Dr. Salmiah memanggil Safiya dengan pangkatnya sebagai ASP. Ada kalanya juga dia memanggilnya Puan.
Safiya membuka buku nota kecil di hadapannya. Terdapat beberapa baris catatan berkenaan kes tersebut direkodkan untuk penyiasatannya.
“Setakat ini, saya telah dapatkan keterangan daripada isteri si mati. Isteri arwah maklumkan bahawa suaminya berkelakuan seperti biasa sahaja. Tak ada pula yang peliknya. Cuma ada suatu ketika dalam beberapa hari yang lepas, suaminya mengadu rasa lemah seluruh badan. Dia beritahu, suaminya hanya mengambil paracetamol sahaja untuk menghilangkan rasa sakit. Tak ada pula dia ke klinik untuk rawatan lanjut.”
Safiya membetulkan duduknya. Suhu dalam jabatan itu yang sedikit sejuk sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepadanya. Pada fikiran Safiya, mungkin suhu di dalam Jabatan Perubatan Forensik yang dianggarkan di antara 18 hingga 20 darjah Celcius ini adalah untuk mengekalkan keadaan fizikal mayat dan bukti-bukti biologi yang berkaitan. Sebab itulah dia berasa sejuk sebegini.
Sebenarnya, bukan Safiya sahaja yang tidak selesa dengan suhu di clean area itu. Hampir kesemua kakitangan di jabatan tersebut turut sama tidak selesa dengan suhu yang sebegitu rendah. Suhu di dalam jabatan menjadi terlalu sejuk kerana binaan jabatan tersebut yang tertutup. Pendingin hawa pula dikawal secara berpusat dan dipasang berterusan menyebabkan suhu kekal rendah.  Kerana itu rata-rata kakitangan di situ memakai jaket ketika berkerja.
“Sudah berapa hari kejadian itu berlaku?” tanya Dr. Salmiah.
“Tiga hari lepas, doktor,” jawab Safiya selepas mengamati buku notanya itu.
“Ada tak isteri dia beritahu pasal perut arwah? Bila perut dia menjadi buncit macam tu?”
“Tak ada pula, doktor. Saya ada tanyakan tapi isteri dia kata dia tak perasan pun perubahan pada perut suaminya itu.”
Safiya terbayangkan semula wajah isteri arwah Dr. Munir. Ketika dia mengambil keterangan wanita malang itu, balu si mati tidak henti-henti menangis. Sudahlah didukungnya bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun. Hatinya tersentuh dan dadanya menjadi sebak.
“ASP tahu tak bidang penyelidikan yang dijalankan oleh pensyarah ini?” Harith bertanya untuk cuba membuka ruang perbincangan dengan lebih luas. Safiya dipanggilnya ASP untuk mengekalkan suasana profesional di hadapan Dr. Salmiah.
 Safiya memandang Harith, agak terpana apabila dipanggil ASP oleh Harith.
“Belum lagi, Encik Harith. Apa yang kami tahu, dia adalah seorang pensyarah tetap di universiti itu. Arwah adalah Dr. Munir, yang sudah 10 tahun berkerja dengan Universiti Sains Islam Malaysia. Sebelum ini, arwah menamatkan pengajian kedoktorannya dari universiti di Leicester, United Kingdom dalam bidang mikrobiologi. Bidang pengkhususannya masih tidak dapat saya sahkan tetapi mungkin ada kaitan dengan xenobacteria.”
Xenobacteria. Hmm. Ini satu perkara yang agak baru di Malaysia. Aku pun tidak faham sangat xenobacteria ni. Apa yang aku tahu, ada sebab kenapa ia dipanggil xeno bakteria. Kalau tak salah, sebab ketahanannya kepada perubahan persekitaran terutamanya terhadap pencemaran.’ Harith merumus sendiri kata-kata yang baharu dihadamnya itu.
Dr. Salmiah kelihatan menulis sesuatu pada deraf bedahsiasat. Mungkin dia mencatat perkara-perkara penting daripada penerangan Safiya itu tadi.
“Doktor, ada sebarang cadangan analisis tak untuk darah tu? Perlukah saya hantar ke Jabatan Kimia bagi analisis toksikologi?”
Safiya bertanyakan Dr. Salmiah untuk mendapatkan pandangan supaya dia jelas dengan apa yang perlu dilakukannya.
“Bukan darah lagi, ASP. Kita panggil bendalir sahajalah. Sebabnya, kita tak dapat nak tentukan adakah ia darah atau sebaliknya.” Jawab Dr. Salmiah.
“Berbalik kepada pertanyaan ASP tadi, saya rasa boleh juga dihantar ke Kimia untuk analisis toksikologi. Mungkin kita boleh hantar satu set sampel kepada Encik Harith juga. Biar makmal dia jalankan analisis yang dirasakan perlu. Jadi,  lebih mudahlah dia membantu kita dalam kes ini. Bagaimana Encik Harith? Boleh kami hantar sampel darah itu untuk dianalisis?”
Makmal yang dimaksudkan Dr. Salmiah itu berada di bawah Agensi NISA.  Agensi milik Harith ini dilengkapi dengan beberapa unit makmal pelbagai disiplin. Selain makmal toksikologi, ia dilengkapi dengan makmal mikrobiologi, DNA dan kriminalistik. Makmal-makmal ini menawarkan perkhidmatan analisis kepada kerajaan yang mengupah makmal luar dalam bentuk ‘out-sourcing’. Selain itu, terdapat juga organisasi dan orang perseorangan yang mendapatkan bantuan analisis daripada Agensi Nisa.  
Harith sungguh bernasib baik kerana ada seorang jutawan Bumiputera yang memandang tinggi cita-cita dan impiannya dalam penyiasatan forensik. Jutawan itulah yang memberikan modal permulaan sebanyak RM200 juta untuk Harith merealisasikan impiannya.
“Boleh, apa salahnya. Saya rasa itu lebih baik. Saya mungkin boleh jalankan beberapa ujian mikrobiologi dan virologi. Toksikologi pun saya akan buat sekali.”
Bukan Harith menidakkan keupayaan Jabatan Kimia dalam memberikan perkhidmatan analisis forensik, tetapi dia tidak sanggup menunggu untuk mendapatkan keputusan analisis sehingga berbulan-bulan. Beban kerja Jabatan Kimia terlalu tinggi. Tidak perlulah dia menambahkan beban tersebut jika ia boleh dilakukannya sendiri.
Dr. Salmiah tersenyum. Dia tahu dia memang boleh mengharapkan sumbangan kepakaran Harith. Anak muda itu ada potensi yang memberangsangkan bidang forensik.
“Doktor Salmiah. Boleh saya tahu, doktor ada dapat tak sampel air kencing? Kalau ada, saya perlukan sampel air kencing juga bersama dengan sampel darah.”
Dr. Salmiah bersandar mencari keselesaan di kerusinya. Dia memandang Safiya dan kemudiannya Harith. Dr. Salmiah seperti cuba untuk menyusun kata-katanya.
“Itulah antara masalahnya sekarang ini. Saya rasa, ASP pun sudah tunjukkan gambar-gambar kes kepada Encik Harith. Pundi kencingnya kering. Saya pun tidak pasti sama ada air kencingnya terserap bersama-sama dengan cecair di dalam perutnya atau pun memang si mati tidak ada air kencing ketika kematiannya.”
“Bagaimana dengan vitreous humor? Ada tak air mata dalam kelopak matanya?”
Pertanyaan Harith secara tidak langsung merungkai post-mortem findings Dr. Salmiah, tanpa dia perlu membaca keseluruhan post-mortem draft.  
“Sama juga. Tak ada air mata atau vitreous humor. Tubuhnya benar-benar kering tanpa bendalir badan. Hanya bulatan besar berwarna merah di dalam rongga perutnya yang kami temukan. Mungkin juga semua bendalir badan telah diserap bersama-samanya.”
Dr. Salmiah berhenti daripada meneruskan bicara. Harith pula mengangguk-angguk seakan-akan faham dengan kesulitan yang dihadapi oleh Dr. Salmiah. Safiya pula sibuk membuat catatan ke dalam buka notanya. Dia perlu mencatat segala input yang dibincangkan semasa temubualnya bersama Dr. Salmiah.
Tambahan pula, Harith ada bersama dalam perbincangan ini. Pandangan dan maklumat yang dikongsikan oleh Harith juga merupakan input yang berguna bagi Safiya. Segala catatan tentang keterangan dan perbincangan mereka pada ketika itu akan menentukan hala tuju penyiasatannya.
“Bagaimana dengan berat semua organ dalaman dia, doktor?” Safiya bertanya untuk mendapatkan kepastian. “Macam mana kita nak pastikan sama ada ia normal atau tidak?”
“Susah untuk pastikan sama ada ia normal atau tidak. Dalam keadaan semua organnya yang kering dan ketiadaan bendalir badan, berat yang diperolehi semasa kami timbang semua organ tadi, langsung tidak relevan dengan anatomi manusia biasa yang baru meninggal dunia. Dalam kes ni, organ si mati menjadi kering. Tentulah ada perbezaan yang ketara antara berat organ yang segar dengan berat organ yang kering.”
“Penyusutan berat boleh dikira andai kita mengambil berat purata organ bagi lelaki yang sihat. Kemudian masukkan data bagi berat organ-organ si mati. Kita boleh bandingkan dan dapatkan peratusnya,” ujar Harith memberikan pandangannya.
Dr. Salmiah dan Safiya mengangguk-angguk. Bagi doktor pakar perubatan forensik itu, cadangan yang Harith lontarkan itu secara teorinya boleh dilakukan. Tetapi secara praktikalnya, tidak ada sebarang piawaian yang boleh digunapakai untuk membuktikan ketepatan dan kejituan pengiraan tersebut.
“Saya rasa, tentang berat organ tu, kita boleh letak tepi. Sebab kes ini kes yang istimewa. Terlalu luar biasa. Kita perlu rungkaikan dahulu misteri kejadian ini barulah kita boleh kaitkan dengan masalah berat organ yang tidak normal ini.”
Dr. Salmiah memberikan cadangan yang dipersetujui Harith dan Safiya dalam isu tersebut. Mereka mengangguk-anggukkan kepala.
“Encik Harith, kita ada masalah besar ni. Tadi saya terlupa nak beritahu satu perkara yag penting tentang bendalir itu.”
“Apa dia doktor?”
“Begini Encik Harith. Selepas kami menemui bendalir tu dalam perut, kami cuba untuk mendapatkan sedikit sampel untuk diuji. Saya suruh MA collect dengan syringe. Sampai ke sudah tak dapat nak collect. Seolah-olah ada daya yang menahan. Bagaimana saya nak ambil sampel bendalir ni? Kalau tak boleh disampel, bagaimana pula nak dihantar ke Jabatan Kimia dan juga ke makmal Encik Harith untuk diuji?”
Harith menjadi bingung. Dia juga tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Dr. Salmiah itu.
“Susah juga kalau macam tu. Saya pun tak tahu nak cadangkan cara lain, doktor. Saya tidak pernah berhadapan dengan sampel yang sebegini.”
Harith diam seketika. Dr. Salmiah masih memandang Harith, seolah-olah mengharapkan penyelesaian daripada Harith.
“Cecair tu melekat tak pada permukaan luar syringe semasa nak ambil sampel tu?” Harith bertanya untuk mendapatkan kepastian. Andai kata ia melekat, mungkin ada cara untuk menyampelnya.
“Tidak. Tak ada yang melekat. Sebagaimana bersihnya syringe itu dimasukkan ke dalam darah, begitu jugalah apabila dikeluarkan.”
“Oh, begitu. Em.”
Harith menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambut di bahagian tengah kepalanya telah semakin menipis. Dia tidak tahu sama ada ini kesan daripada banyak berfikir atau kerana dia terlalu banyak makan mi segera semasa di universiti. Begitupun, dia masih memikirkan cara lain untuk melakukan persampelan.
“Bagaimana jika doktor sampelkannya dengan kertas turas? Atau gunakan FTA card. Sampel akan dikumpulkan dalam bentuk kering sama ada calitan cecair atau titisan. Letakkan saja kertas turas tu pada permukaan sfera. Tengok sama ada terdapat cecair yang diserap dek kertas turas tersebut. Kalau ada, kertas turas tu perlu disimpan dalam beg plastik spesimen atau botol spesimen. Tapi gagal juga, saya kena berbincang dengan mereka yang lebih tahu.”
Harith teringatkan Profesor Geroustamolous dari Australia. Beliau adalah seorang ahli forensik yang sering menjadi pakar rujuknya. Sebagai seorang yang masih baharu dalam bidang forensik, Harith perlu mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka yang telah menjuarai bidang ini lebih awal daripadanya.
Tiba-tiba, daun pintu bilik runding cara diketuk perlahan. Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan, PPK yang berpakaian sama seperti Dr. Salmiah masuk seraya memberi salam. Dia ingin memaklumkan Dr. Salmiah bahawa imbasan x-ray sudah selesai.
“Tapi bos, darah tadi dah tidak macam tadi lagi. Selepas sahaja dijalankan imbasan, ia macam pecah dan mengalir macam air. Ada juga yang tertumpah ke lantai. Tapi nasib baik masih banyak dalam perut mayat tu lagi. Melompat jugalah juru x-ray tu nak mengelakkan darah yang mencurah jatuh,” sambungnya. Dia tersengih sedikit. Mungkin masih terasa lucu dengan reaksi juru x-ray di dalam bilik bedahsiasat tadi. Harith kenal PPK itu. Zaidi, orang lama di jabatan ini.
“Em, nampaknya selesailah satu daripada masalah kita. Alhamdulillah,” ujar Dr. Salmiah penuh syukur. “Kalau tidak, pening kepala dibuatnya memikirkan cara nak disampel bendalir itu. Em, terima kasih Zaidi.” Dr. Salmiah melemparkan senyumannya melihat keletah anak buahnya itu.
“Banyak lagi ke, Di?” tanya Harith. Dia tahu Zaidi masih mengenalinya.
“Sampel tu ke, Encik Harith? Banyak lagi. Ada dalam sebaldi kecil,” balas Zaidi sambil melemparkan senyum menampakkan giginya yang rongak di depan. Gigi kuning itu nampak teruk berkarat kesan daripada merokok.
“Alhamdulillah. Allah bantu kita, doktor. Kalau tidak, sampai ke sudah kita tak tahu nak buat macam mana,” ujar Harith pula. Harith memandang Safiya. Dia tidak lagi menulis. Buku catatannya ditutup mungkin kerana dia sudah bersedia untuk masuk semula ke dalam bilik bedahsiasat.
Kalau boleh, Safiya tidak mahu masuk sekali lagi ke dalam bilik bedahsiasat tersebut. Dia tidak suka bau mayat yang memualkan itu. Sebaik mungkin dia akan cuba mengelak. Tetapi, kali ini dia akan ditemani oleh Harith.
Dr. Salmiah bangun dari kerusinya. Sambil bergerak meninggalkan bilik itu, dia mempelawa Harith untuk mengikuti mereka ke bilik bedahsiasat. Harith yang memang menantikan pelawaan tersebut, tidak melepaskan peluang yang sudah terhidang.
“Kalau doktor sudah ajak, saya tidak menolak,” ujar Harith sambil membuntuti mereka ke dalam bilik bedahsiasat.
Safiya memberi laluan kepada Dr. Salmiah untuk berjalan dahulu. Dia pula berjalan beriringan dengan Harith. Mereka melepasi pintu besar yang sentiasa tertutup masuk ke wet area. Ketika itulah Harith dapat melihat ruang galeri memerhati yang penuh sesak dengan pelajar yang memakai kot putih. Jika Dr. Salmiah tidak mempelawanya masuk ke dalam bilik bedahsiasat, dia tentu tidak dapat melihat apa-apa jika hanya berada di galeri memerhati itu.
Sebelum masuk ke dalam bilik bedahsiasat tersebut, Zaidi menunjukkan kepada Harith tempat untuk mengambil gaun plastik pakai buang, facemask dan shoe cover. Harith mengambilnya dan memakai gaun tersebut sementara Safiya mengeluarkan facemasknya yang telah ditanggalkan tadi untuk dipakai semula. Dia mencapai sehelai gaun plastik untuk dikenakan di badannya.
Setelah mengenakan shoe cover, Safiya dan Harith masuk ke dalam bilik bedahsiasat itu. Dr. Salmiah sedang mengambil beberapa keping gambar menggunakan kamera Canon D6 milik jabatannya. Kamera dengan spesifikasi yang tinggi itu memang sesuai digunakan dalam kerja-kerja penyiasatan forensik untuk menghasilkan gambar yang jelas dan berkualiti.
Mata Harith dialihkan pula ke atas meja bedahsiasat. Di hadapannya terbujur kaku sekujur tubuh manusia yang sedang dijahit oleh Zaidi dan Hussein. Hussein adalah Penolong Pegawai Perubatan di jabatan itu. Harith tidak mengenalinya kerana Hussein baharu menyertai jabatan empat tahun selepas pemergian Harith.
Harith melihat tangan Zaidi yang pantas mencantumkan kembali kulit yang telah dibelah tadi. Tidak kekok malah kelihatan sungguh cekap sekali. Jahitannya walaupun pantas, namun dilakukannya dengan cukup teliti. Hasilnya, kesan cantuman itu tidak terlalu menonjol kerana jahitannya halus.
Harith menumpukan pula pada mayat tersebut. Jelas pada pandangan matanya akan kulit mayat yang berkedut-kedut pada keseluruhan tubuhnya. Jika tadi dia hanya melihatnya dari gambar yang diambil Safiya, kini Harith menyaksikannya sendiri. Dia juga boleh nampak organ-organ yang mengecut dan mengering yang diletakkan di dalam besin kecil di atas meja tersebut.
“Ini dia Encik Harith dua tiub sampel bendalir badan si mati. Awak buatlah apa-apa ujian yang berkaitan. Harap-harapnya ada keputusan yang boleh saya gunakan.”
Dr. Salmiah memberikan tiub-tiub sampel itu yang telah diletakkan di dalam beg plastik bertanda biohazard. Harith memerhatikan tiub yang digunakan. Kedua-duanya adalah  tiub vacutainer yang mengandungi bahan pengawet sodium fluoride (NaF) yang boleh menghalang pembiakan sebarang mikrob. Namun, Harith tidak pasti adakah bahan pengawet itu berguna untuk sampel seperti itu.
Harith menerima plastik sampel itu dengan tangan kanannya. Dia meneliti tulisan pada kedua-dua tiub tersebut. Kedua-dua dilabelkan keterangan berkenaan si mati tetapi tidak dinyatakan analisis yang dikehendaki. Kemudian, dia meletakkan plastik itu di meja yang terdapat di penjuru kiri bilik itu. Meja itu biasa digunakan untuk menulis butiran penting kes dan juga menyediakan spesimen sebelum ia dibawa keluar dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Setelah itu, tumpuan Harith berbalik semula kepada mayat itu. Lama dia melihat-lihat permukaan kulit mayat itu. Tiba-tiba, Harith meninggalkan sisi meja bedahsiasat dan bergegas mendapatkan sarung tangan getah. Dipakainya dua lapis, sama seperti yang dipraktikkannya dahulu.
Dia kembali semula ke sisi mayat. Perhatiannya difokuskan kepada satu tanda di perut jari telunjuk pada tangan kanan mayat. Harith membelek-belek kulit jari telunjuk itu sehingga menimbulkan pertanyaan kepada Dr. Salmiah dan Safiya.
“Apa yang awak tengok tu? Ada apa-apa yang saya terlepas pandang kah?” tanya Dr. Salmiah sambil berdiri di sebelah Harith.  Safiya juga mengambil tempat di sebelah kirinya.
“Ini kesan apa, doktor? Macam ada lubang kecil di bawah kulit ini.”
Harith mengangkat tangan kanan mayat itu dan ditunjukkan kepada Dr. Salmiah. Jari telunjuk itu diluruskan supaya mudah Dr. Salmiah melihatnya.
“Ha ah. Saya tak perasan pula tadi. Macam ada sedikit bukaan pada kulit jari ni. Kecil saja.”
Dr. Salmiah berpaling kepada pembantunya.
“Hussein. Tolong unjukkan saya kanta pembesar tu,” kata Dr. Salmiah sambil menunjukkan jarinya ke arah kanta yang dimintanya.
Hussein melihat arah jari Dr. Salmiah dan terus mengambil kanta pembesar tersebut. Tanpa membuang masa, dia memberikannya kepada Dr. Salmiah. Tangan Dr. Salmiah yang masih didepanya itu terus mencapai kanta pembesar tersebut.
Sambil membongkokan badannya sedikit, dia meneliti kulit jari telunjuk mayat itu melalui kanta pembesar tadi.
“Saya nak ambil sikit sampel kulit ni. Saya nak tengok histologinya.”
Harith meletakkan kembali tangan kanan mayat itu ke atas meja bedahsiasat. Dia bergerak menjauhi meja untuk memberi laluan kepada Hussein dan Dr. Salmiah melakukan kerja mereka.
Hussein menyerahkan Dr. Salmiah sebilah pisau PM40 yang masih tajam. Di tangannya pula dipegangnya sebiji bekas spesimen untuk meletakkan kulit yang akan dipotong oleh Dr. Salmiah itu.
Dengan pisau tajam di tangan, Dr. Salmiah menoreh sedikit kulit yang berkedut-kedut sehingga ke daging jari. Dia memotong sedikit untuk dijadikan sampel. Sampel itu yang masih terlekat di hujung pisau dijatuhnya ke dalam bekas spesimen yang disediakan oleh Hussein.
“Ada apa-apa lagi Encik Harith?”
Harith kembali merapati meja bedahsiasat. Dia melihat-lihat bahagian lain tubuh mayat itu. Dibelek-beleknya sambil tangannya memegang mayat dengan penuh minat.
“Saya rasa, tak ada dah doktor.”
“Baiklah. Mari kita keluar,” ajak Dr. Salmiah kepada Harith dan Safiya. “Biar mereka berdua selesaikan menjahit. Waris pun sudah lama menunggu  nak bawa pulang jenazah.”
Harith dan Safiya mengikut Dr. Salmiah meninggalkan bilik bedahsiasat. Semua gaun plastik dan facemask yang dipakai mereka dibuang ke dalam tong sisa klinikal yang berwarna kuning yang terletak di tepi pintu. Harith membuang sama sarung tangan yang dipakainya tadi. Dia membawa bersama sampel bendalir itu keluar.
“Jika tidak menjadi keberatan kepada doktor, boleh saya ambil keterangan doktor berkenaan bedahsiasat tadi? Tak perlu secara terperinci. Memadai sekadar laporan awal penemuan pemeriksaan bedahsiasat. Kalau bos saya tanya nanti, gagah jugalah saya nak menjawabnya.”
Safiya ingin memaksimumkan peluangnya berada di jabatan ini dengan sebaik dengan menyempurnakan tanggungjawabnya. Keterangan Dr. Salmiah amat perlu diambilnya pada waktu ini memandangkan proses pemeriksaan bedahsiasat baharu sahaja selesai. Jadi, ingatan Dr. Salmiah masih lagi segar. Penerangannya juga akan menjadi lebih jelas dan tepat. Tambahan pula, Dr. Salmiah sibuk orangnya. Bukan selalu ada di pejabat. Banyak masa dihabiskan di mahkamah jika tidak menyelesaikan laporan-laporan bedahsiasat yang sentiasa menghambatnya.
“Boleh. Apa salahnya,” ujar Dr. Salmiah.
Mereka bertiga masuk kembali ke dalam bilik runding cara. Setelah melabuhkan punggung, Safiya mula mengeluarkan failnya dari dalam beg bimbit yang ditinggalkan di dalam bilik runding cara itu. Setelah dia melihat Dr. Salmiah bertenang di kedudukannya, Safiya mula bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan untuk kertas siasatannya. Dr. Salmiah pula menjawab segala pertanyaan Safiya seperti rutin yang seringkali dihadapinya. Harith pula merasakan bahawa kehadirannya ketika itu tidak diperlukan.
Harith meminta diri untuk balik ke agensinya.  Urusannya di situ pada hari itu telah selesai. Dia perlu segera membawa pulang sampel bendalir itu untuk disimpan di makmal. Sudahlah dia tidak membawa bersamanya cold box untuk memastikan suhu sampel sentiasa rendah. Jabatan Perubatan Forensik juga tidak menyediakan sebarang medium untuk menyimpan sampel pada suhu rendah.
Harith bangun berdiri dan bergerak ke arah pintu yang bertutup di sebelah kirinya. Setelah menekan butang ‘release’ bersebelahan dengan daun pintu, dia membukanya dan melangkah keluar dari bilik runding cara tersebut sambil memegang daun pintu. Setelah betul-betul berada di luar bilik, baharulah dia melepaskan perlahan-lahan daun pintu itu dan menutupnya.
Baharu sahaja dia ingin melepaskan daun pintu, dia terdengar namanya dipanggil Safiya. Cepat-cepat Harith menarik kembali daun pintu takut ia terkunci dari dalam.
“Ya ASP. Kenapa ya?”
Dr. Salmiah dan Safiya memandang Harith. Mulut Safiya sudah terbuka tetapi tidak lagi membutirkan bicara.
“Esok saya nak pergi melawat ke tempat kejadian. Saya ingat nak ajak Encik Harith sekali. Pihak polis belum buat siasatan di sana. Sebab dari awal kes dilaporkan, pegawai yang menerima kes ini, buka kes sebagai kematian mengejut. Tapi disebabkan ketaknormalan kes, pegawai tu tak berani nak teruskan. Bos kami suruh tukarlah jadi siasatan jenayah.”
Harith mendengar dengan penuh minat. Sekali lagi tawaran yang memang dinanti-nantikannya.
“Eh. Elok sangatlah tu. Saya setuju untuk ikut ke sana.”
“Baguslah. Dr. Salmiah pun akan pergi bersama esok. Nanti kalau ada apa-apa hal, saya telefon Encik Harith.”
  
*************

Apabila berada di luar bilik, Harith merasa sedikit lega. Suasana yang cerah dan panas dengan suhu lebih kurang 32 darjah Celsius memberikan perbezaan yang besar berbanding ketika dia berada di dalam jabatan tadi. Suhu yang sejuk di dalam jabatan itu memberikan kesan kepada tubuhnya. Dia berasa mengantuk.
Setelah membetulkan sendi-sendi tubuhnya dan badannya berasa lebih selesa dengan suhu itu, Harith melangkah ke keretanya. Esok dia akan bertemu lagi dengan kekasih hatinya. Esok juga dia perlu menjadi lebih fokus. Dia tidak mahu menghampakan gadis yang diminatinya itu.

Ulasan

Catatan Popular