Kegilaan Jiwa

Apa perlunya dipertontonkan
tiap perlakuan dan tingkah laku
tiap gerak rasa dan gelodak jiwa
pada seluruh umat manusia
hatta jika ada makhluk lain di luar sana
satu alam bisa tahu
kau saat ini
bukan lagi punyai rahsia

Apa perlunya dikongsi
saat-saat intim antara kau dan dia
yang seharusnya diungkap hanya pada tabir telinganya
yang semesti tersimpan utuh di sanubari kalian
tapi kini menjadi tatapan khalayak
tiada lagi rahsia
tiada lagi istimewa
kerana mereka semua tahu

Apa perlu didedahkan
bahagian tubuh yang sewajibnya dijaga
walaupun wajah yang manis ciptaan Dia
jika sekadar menyatakan diri
tanpa sedar menyerahkan harga diri
dalam terleka menghimpunkan duri
menambah beban ke neraca sendiri

Dunia ini sudah semakin lama merekodkan
perjalanan hidup manusia yang pelbagai
kejayaan, kemenangan, kekalahan, kehancuran
kekayaan dan kemiskinan
kesedihan dan kegembiraan
kebaikan dan keburukan
tanpa perlu kita menambahnya sendiri

Simpanlah sedikit hanya untuk diri
sekurang-kurangnya masih ada yang istimewa
tentang dirimu dan insan sekeliling
kerana hidup ini tidak akan lebih jelik
andai kita saling menjaga
sempadan keperibadian dan hak istimewa
untuk menjadi manusia yang punya agama


musafir kelana
Nilai
6 Januari 2013

Ulasan

Catatan Popular