Harga Sebuah Bahagia

Bahagia rasanya dalam jiwaku
tatkala anak dan isteri di samping
meluang masa
walau tidak beresepikan kemewahan
walau sekadar percutian sederhana
aku gembira melihat keluargaku riang tertawa

Masihkah akan ada detik bahagia ini di masa hadapan?
Masihkah isteriku terus di sisiku?
Dan anak-anak tetap menyayangiku?

Seringkali aku menangisi nasib hidupku yang tidak berupaya
tanpa dapat memberikan kemewahan kepada isteri tercinta
tidak mampu menghadiahkannya walau sebentuk cincin permata
apatah lagi membentangkannya dengan hamparan syurga
idaman setiap wanita terhadap cintanya

Begitu juga anak-anakku yang membesar dalam kekurangan
tiada permainan terbaik selain kasih sayang
tiada hadiah hari lahir terindah kecuali kucupan
hanya itu yang termampu aku berikan

Aku cuba menjadi penjaga terhebat dalam senyap
aku ingin menjadi pelindung gagah dalam kesengsaraan
agar dapat ku gapai mentari untuk menerangi hidup kalian sepanjang hayat
agar mampu kutabiri keresahan rasa dengan bulan dan bintang
agar senyuman kalian sentiasa terukir sempurna
namun aku tidak mampu
dan tidak mungkin terjadi
walau aku hidup untuk seribu tahun lagi

Mungkin inilah harga sebuah bahagia
pengorbanan dan pengertian semua insan
dalam lautan kasih sayang yang tidak bertepian
bahagia yang dicari adalah bahagia yang didapati
bukan bahagia yang diidam dalam mimpi indah berpanjangan

Aku bahagia dalam kekurangan ini
dengan harapan isteriku yang tercinta memahami
dan anak- anak tersayang mengerti
bahawa meski hidup sebegini
ia tetap sempurna dalam realiti



musafir kelana
4 Januari 2013
Le Paris PD

Ulasan

Catatan Popular