Cepat
Tumpuan Ghazali yang sedang melakarkan garis-garis tanpa berbantukan pembaris di atas kertas lukisan anak sulungnya terganggu. Lagu ‘Mentera Beradu’ nyanyian Malik dan M. Nasir memesongkan perhatiannya. ‘Siapakah yang memanggil pada waktu-waktu sebegini?’ getus hati Ghazali.
Ghazali sempat menoleh ke arah jam yang tergantung pada tiang ruang tamu rumah. Sudah pukul 9.15 malam. Sekarang ini, dia sering mendapat panggilan pada waktu lewat malam. Selalunya panggilan yang berkaitan dengan kerjanya sebagai pegawai sains forensik di Jabatan Perubatan Forensik itu.
Dia bangun daripada duduknya dan mengatur langkah ke arah rak yang terletak di bawah televisyen 32 inci yang digantung di dinding ruang tamu itu. Meja makan ditinggalkan. Meja itulah tempat mereka sekeluarga menjamu makanan. Meja itulah juga tempat Ghazali menulis dan menyiapkan tugasan dengan laptopnya. Telefon pintarnya ada di atas rak tersebut dan Ghazali tidak mahu melepaskan panggilan itu tanpa menyambutnya.
‘Ini nombor Hospital Sungai Buloh? Ada kes, kah?’, getus hatinya sambil menekan skrin sesentuh untuk menerima panggilan yang tidak dijangka itu.
“Assalamualaikum Encik Li. Maaflah mengganggu malam-malam ini.”
Suara pembantu pegawai perubatan di pejabat Ghazali, Hassan menerpa masuk ke gegendang telinganya. Jelas terdengar slanga Kelantan dalam nada suaranya yang sedikit keras.
“Waalaikumussalam, Hassan. Eh, tidak mengapalah. Saya pun tidak berbuat apa-apa di rumah ini. Ada kes baharu sampaikah?”.
Ghazali membalas dengan panggilan itu. Dia yang baharu sahaja selesai menikmati makan malam setengah jam yang lalu masih merasa kekenyangan, membuatkan rasa mengantuknya menjengah. Waktu-waktu sebegini, selepas kelelahan bekerja seharian dia pejabat, Ghazali mahukan masa rehat yang berkualiti bersama keluarganya. Tambahan pula, dia hanya sampai ke rumah pada jam 7.00 malam tadi akibat kesesakan jalan yang di luar jangkaan. Maka, pada jam 9.15 malam, bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkan lagi hal kerja.
“Begini, Encik Ghazali. Sebentar tadi, ada seorang doktor dari Klang menelefon ke pejabat. Kebetulan saya ada di sini sebab ada kes kematian di wad. Doktor yang menelefon itu, bertanyakan tentang sampel untuk ujian methanol yang mereka hantar tengah hari tadi. Dia mahukan kepastian, sama ada pihak makmal sudah menerimanya atau belum. Saya katakan yang pegawai saya sudah tiada, sudah balik ke rumah dan saya tidak tahu mengenai perkara ini. Mengikut rekod penerimaan sampel di kaunter, memang tidak ada sampel yang diterima daripada Klang.”
“Siapakah nama doktor itu? Doktor Siew, kah?”.
Ghazali sememangnya ada menerima panggilan telefon daripada seorang doktor berbangsa Cina dari Hospital Klang yang memaklumkannya tentang sampel berkenaan. Panggilan itu diterimanya pada jam 11.00 pagi tadi. Doktor Siew menganggarkan bahawa kesemua sampel akan tiba dalam tempoh satu jam. Namun, sehingga jam 5.00 petang, Ghazali masih tidak menerima sebarang sampel pun daripada mana-mana hospital.
“Ya, Doktor Siew Sin Yee. Dia minta nombor telefon Encik Li tadi, tetapi saya tidak berikan. Bukankah seharusnya mereka tahu, masa bekerja adalah sehingga jam 5.00 petang sahaja?”
Hassan cuba menyatakan rasa tidak puas hatinya. Nasib baik juga dia berada di jabatan pada ketika doktor itu menelefon. Jika tidak kerana dia dipanggil untuk menguruskan jenazah seorang lelaki Melayu yang meninggal akibat pulmonary embolism malam itu, pasti panggilan telefon doktor itu tidak akan bersambut. Ada kemungkinan doktor itu akan menulis laporan yang merekodkan kegagalan jabatan Forensik melayan pelanggan. Tentu perkara itu akan berpanjangan pula.
“Begini Hassan. Jika ada Doktor Siew menelefon lagi, katakan padanya yang pihak makmal belum menerima sebarang sampel sehingga lewat petang tadi. Jadi, tiada sebarang ujian dijalankan lagi.”
Tengah hari tadi, Ghazali tidak keluar untuk makan tengah hari. Dia sebaliknya berada di dalam makmal, bersedia untuk menerima tiga sampel darah dan dua sampel air kencing yang dijanjikan akan dihantar ke makmal itu. Sampel itu difahamkan milik seorang pesakit yang telah dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Keadaan pesakit itu agak kritikan. Tahap asidosisnya tinggi. pH dalam sistem badannya rendah.
Pesakit itu tidak memberikan tindakbalas terhadap banyak ujian awal yang dijalankan oleh doktor dan jururawat yang merawatnya. Dia dimasukkan ke hospital setelah tidak sedarkan diri, terbaring tanpa upaya di rumah. Si isteri yang cemas telah menelefon ambulans agar suaminya dapat diberikan bantuan. Berdasarkan pertimbangan doktor yang merawat, dan cerita isterinya yang memperihalkan suaminya mabuk sebelum tidak sedarkan diri itu, lelaki itu disyaki menjadi mangsa keracunan methanol. Maka, sampel bendalir badannya perlu dihantar ke Jabatan Forensik untuk diuji kehadiran kandungan methanol.
Ghazali terus berada di makmal sehingga jam 3.00 petang. Dia sudah menyiapkan segala kelengkapan yang diperlukan untuk ujian tersebut. Internal standard sudah disediakan. Begitu juga dengan kepekatan piawai bagi alkohol dan methanol yang ingin diuji. Segalanya sudah tersedia menunggu ketibaan sampel yang khabarnya memerlukan keputusan ujian yang cepat.
Akhirnya, sehingga jam 4.45 petang, sampel berkenaan tidak juga kunjung tiba. Ghazali juga tidak mendapat sebarang makluman daripada doktor yang sama, berhubung kegagalan tersebut. Sudahnya, Ghazali mengemaskan peralatan ujian dan mengunci makmal untuk bersegera pulang menghadapi perjuangan mengharungi kesesakan lalulintas di bandaraya yang serba mendambakan kesabaran ini. Perjalanan pulang sejauh 72 kilometer dengan menempuh kebanjiran kenderaan memang amat memenatkan.
“Dan kalau dia perlu berhubung dengan saya, berikan kepadanya nombor telefon saya. Saya cuma berharap, dia tidak meminta saya menjalankan ujian itu pada waktu malam sebegini.”
“Ayah. Ayah. Tengok ni. Kakak lukis macam yang ayah buat tadi.”
Anak perempuan Ghazali menempik agak kuat meminta perhatiannya pula. Dia membentangkan kertas lukisan di tangannya agar Ghazali dapat melihat hasil tangannya itu. Dari tempatnya berdiri, Ghazali nampak garisan yang pada awalnya agak lurus untuk hampir tiga sentimeter panjang tetapi kemudiannya semakin membelok dan menjauh. Ghazali hanya mengangguk-angguk sambil melemparkan sekuntum senyuman pada anaknya itu.
“Baiklah Encik Li. Kalau ada lagi doktor itu menelefon nanti, saya akan sampaikan pesanan encik. Maaflah mengganggu encik berehat di rumah pula.”
“Tidak mengapalah, Hassan. Saya tidak kisah sangat. Lagipun, kamu hanya menjalankan tugas kamu sahaja.”
“Terima kasih, Encik Li. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, Hassan.”
Ghazali meletakkan telefon itu ke atas meja makan. Isterinya yang sejak tadi berada di dapur, menghampirinya. Si isteri mengusap-usap kepala anak perempuan tunggal mereka. Itulah tanda kasih sayang di antara kedua-dua pasangan bahagia itu. “Siapa yang menelefon tadi, abang?”
Ghazali memusingkan tubuh mengadap isterinya yang datang dari arah dapur. Dia baharu selesai membasuh pinggan dan mangkuk. Hidangan tadi walaupun ringkas tetapi sungguh menyelerakan. Ikan patin masak tempoyak memang menjadi kegemaran mereka berdua. Anaknya, Khaleeda sekadar menikmati ikan patin yang telah digoreng sahaja.
“MA Hassan yang telefon tadi. Dia beritahu ada doktor yang bertanyakan tentang sampel pesakit untuk analisis methanol. Sampel itu tidak sampai pun ke makmal abang. Hampir sepanjang hari abang tunggu sampel itu dihantar tetapi sehingga ke petang, langsung tiada. Jadi, abang baliklah sudahnya,” jelas Ghazali panjang lebar.
“Kenapa pula doktor itu menefon bertanyakan kepada abang? Mereka tiada rekodkah sama ada sampel itu sudah dihantar atau belum?” Isteri Ghazali kehairanan kerana suaminya itu dihujani dengan panggilan-panggilan telefon dari ramai doktor yang mengejar analisis makmal yang suaminya itu jalankan.
“Entahlah. Abang pun tidak faham mengapa. Mungkin kerana bukan jabatan itu sendiri yang menghantarnya tetapi semua sampel dihantar keluar daripada hospital melalui Jabatan Patologi. Kerana itu mereka sukar untuk mengesan sendiri rekod penghantaran sampel.”
Ghazali kembali ke bangkunya tadi. Khaleeda masih tekun menulis dan melukis di atas dada kertas putih yang diberikannya tadi. Gadis kecil berusia empat tahun itu kelihatannya sibuk sekali mencoretkan sesuatu tanpa makna.
Isteri Ghazali, Hajar berlalu pergi ke sofa. Dia mencapai senaskah majalah Saji lalu melabuhkan punggungnya di sofa yang empuk itu. Sehelai demi sehelai muka surat majalah itu diselaknya. Dia meneliti resepi-resepi yang disajikan di dalamnya. Ada resepi masakan yang sudah diketahuinya. Banyak juga yang baharu dipelajarinya.
Ghazali menyambung kembali kerjanya tadi. Namun, tumpuannya sudah terganggu. Tidak mustahil sebentar lagi dia akan menerima panggilan daripada Doktor Siew itu.
Perhatiannya kembali semula kepada Hajar, isterinya. Ghazali melihat Hajar sudah meniarap di ruang tamu itu. Isterinya itu rupanya sudah membentangkan dua lapis toto di situ. Pasti Hajar juga sudah kepenatan setelah menghabiskan waktu bekerja pada hari itu. Tugas Hajar sebagai penolong pegawai penyelidik menjadikannya selalu dibebani dengan kerja-kerja berat yang tidak mahu dipikul oleh pegawainya.
Kadang-kala, Ghazali kasihan mendengar keluhan Hajar yang selalu terpaksa memberikan lebih daripada apa yang sepatutnya dilaksanakan dalam tugasnya. Selalu juga dia mempertikaikan sikap pegawai atasan Hajar yang dilihatnya sering mengambil kesempatan ke atas anak-anak buah di bawahnya.
Khaleeda bangun dari tempat duduknya apabila melihat ibunya telah berada di atas toto. Dia ingin menyertai ibunya di atas toto itu. Mungkin Khaleeda turut sama berasa keletihan setelah seharian berada di tadika. Tidak lama lagi, pasti Khaleeda akan melelapkan matanya di sisi Hajar.
Ghazali membiarkan sahaja Khaleeda berbaring di sebelah Hajar. Dia menyiapkan lakarn-lakaran terakhirnya dan kemudiannya mengemaskan alat tulis yang digunakannya itu. Segalanya disimpan di dalam bilik setor di bawah tangga.
Tiba-tiba, Hajar menoleh kepada Ghazali lalu bersuara, “Jadi, macam mana dengan doktor yang menelefon itu? Abang hendak buat apa?”
Ghazali menutup pintu setor dahulu sebelum menjawab pertanyaan Hajar itu.
“Tiada apa-apa. Biarkan sahaja. Jika ia penting, tentu akan ada pakar dari Hospital Klang menelefon abang pula.”
“Tidak bolehkah mereka menunggu sehingga esok hari?”
Sememangnya Ghazali tidak bekerja secara atas panggilan. Dia bekerja mengikut waktu pejabat sahaja, lapan jam sehari untuk lima hari seminggu. Namun, semenjak berlaku banyak kes keracunan methanol di negeri ini, jadual kerjanya sudah banyak terganggu. Kebiasaannya Ghazali akan mula bergerak pulang ke rumah selepas jam 5.00 petang tetapi kini dia selalu juga pulang selepas Maghrib. Andai analisisnya lewat selesai, Ghazali akan menyempurnakan solat Maghribnya dahulu. Dia tidak mahu solatnya luput dalam kesesakan lalulintas.
“Entahlah sayang. Kadang-kala, memang mereka di bahagian klinikal perlukan keputusan analisis dengan cepat. Supaya mereka dapat menjalankan rawatan yang betul kepada pesakit. Tambahan pula dalam kes seperti ini, masa yang berlalu tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.”
Ghazali menghela nafasnya panjang. Dia mengambil tempat di kedudukan Hajar tadi di atas sofa itu. Sambil matanya melihat akan siaran di kaca televisyen, dia mencari-cari ayat untuk meneruskan bicara.
“Abang harap tiadalah orang yang menelefon meminta abang jalankan analisis malam ini. Tetapi, jika mereka memang benar-benar memerlukan keputusan secepat mungkin, terpaksa jugalah abang ke makmal nanti.”
Ghazali mendiamkan diri seketika. Dia mengelamun melayan perasannya. Matanya masih tertancap ke skrin televisyen namun pandangannya itu kosong.
Tiba-tiba, apa yang dikhuatirkannya menjelma. Telefonnya berbunyi lagi menjerit-jerit minta diangkat. Ghazali memandang Hajar. Hajar turut merenung Ghazali menzahirkan seribu perasaan.
“Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Encik Ghazali?”
Suara di hujung sana talian menjengah ke gegendang telinga sebaik sahaja panggilan itu disambut Ghazali. Suara garau seorang lelaki Melayu yang begitu asing kepadanya membuatkan Ghazali tertanya-tanya.
“Waalaikumussalam. Ya, saya Ghazali. Boleh saya tahu siapa di sana?”
“Saya ASP Ismail dari Balai Polis Taman Johor Jaya.”
Ghazali menelan air liurnya sedikit. Rasa gelisah mula terbit dengan kehadiran panggilan telefon itu.
Melihatkan Ghazali diam tanpa bersuara, ASP Ismail meneruskan bicaranya.
“Begini Encik Ghazali. Saya mendapat nombor encik ini daripada telefon seorang mangsa kemalangan jalan raya. Encik kenal dengan seorang gadis bernama Maisarah?”
‘Ya Allah. Apa sudah berlaku kepada Maisarah?’ Debar hati Ghazali semakin menggila. Dalam kegusarannya itu, dia menjawab bahawa Maisarah adalah adik bongsunya.
“Maisarah terlibat dengan kemalangan, tuan?”
Pertanyaan Ghazali itu yang didengari Hajar turut memeranjatkannya. Dia bangun dari pembaringan dan mendapatkan suaminya itu. Ghazali masih tidak berganjak daripada tempatnya berdiri itu. Dia ingin mendengar semuanya daripada ASP Ismail.
“Cik Maisarah telah terlibat dengan suatu kemalangan jalan raya pada jam 8.30 malam tadi. Kereta Cik Maisarah telah berlanggar dengan sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan. Kami percaya, kereta itu telah hilang kawalan dan melanggar kereta adik encik.”
“Bagaimana dengan keadaan adik saya sekarang ini, tuan?”
“Adik encik masih di dalam ICU. Keadaannya agak kritikal. Saya menghubungi encik ini untuk memaklumkan tentang keadaan adik encik ini. Harap encik dapat maklumkan ahli keluarga yang lain. Saya juga berharap agar encik banyakkan bersabar dan bertawakkal kepada Allah.”
Ada air mata yang mula bergenang di hujung kelopak mata Ghazali. Dia memandang Hajar. Air mata itu mula menitis membasahi pipi Ghazali ketika Hajar memeluknya dari sisi.
Ghazali mematikan panggilan telefon setelah mengucapkan terima kasih. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu emak dan ayahnya tentang perkara itu. Pasti mereka sukar menerimanya.
“Bersiaplah. Abang hendak solat Isyak dahulu.”
Ghazali meninggalkan Hajar di situ. Hajar yang faham dengan perasaan Ghazali mengangguk kepadanya dan berlalu ke bilik untuk mengemaskan pakaian.
Ghazali berasa sebak. Sungguh ironi dirasakannya. Kini dia pula yang berharap agar adiknya diberikan rawatan yang sebaiknya dengan secepat mungkin.
adlienikman
3 Dis 13
dihantar untuk diterbitkan oleh Tunas Cipta DBP

Ulasan