Kegilaan Jiwa

Roboh sudah benteng resam ketimuran
pabila tiap tingkah laku dan gerak rasa
kau pertontonkan tiap saat ketika
pada seluruh mata yang memandang
walau dari kejauhan dunia
bertempiklah alam
menyingkap tiap rahsiamu
yang kini bukan lagi rahsia

Meracau sang kelembai
pabila saat intim kau dan dia
yang sewajibnya hanya tersemat di sanubari
menjadi tatapan khalayak
tiada lagi rahsia
tiada lagi istimewa
kau canang ke seluruh dunia sambil memburu si ibu jari

Pupus sudah legasi wanita Melayu Islam
pabila tubuhmu kau dedahkan semahunya
dan kau tayangkan buat tatapan semua
jika sekadar menyatakan diri
tanpa sedar menyerahkan harga diri
dalam terleka menghimpunkan duri
menambah beban ke neraca sendiri

Simpanlah sedikit hanya untuk diri
walau sekelumit masih istimewa
kerana hidup ini tidak akan lebih jelik
andai kita saling menjaga
sempadan keperibadian dan hak istimewa
untuk menjadi manusia yang punya agama

adlienikman
3 Dis 13

Diubahsuai daripada Kegilaan Jiwa yang ditulis pada 6 Januari 2013
Dihantar pada 3 Dis 13 untuk dinilai bagi diterbitkan dalam Mingguan Malaysia

Ulasan

Catatan Popular