Nantilah, abang nak tanya dulu...

Suatu petang yang sunyi, ada sekelamin duduk-duduk santai di beranda rumah mereka. Si suami baharu sahaja pulang dari tempat kerjanya. Si isteri pula baru menyiapkan minum petang buat mereka berdua. Tiga orang anak mereka sedang menonton televisyen, seperti petang-petang lain sepanjang tempoh PKP ini, yang kini sudah menjangkau ke PKPP pula.

Isteri: Kita jadi tak balik ke kampung, ni bang?

Si suami memandang jauh ke hadapan. Di hadapan mereka ada laut terbentang luas. Angin yang bertiup kuat dari Laut China Selatan itu terasa sungguh menyenangkan. Pandangannya kosong. Sedang isterinya menuangkan air teh panas ke dalam cawan-cawan yang diatur di hadapan mereka. Meja bulat kecil itu hanya sesuai untuk diduduki oleh mereka berdua sahaja.

Isteri: Abang dengar tak saya tanya ni? Jadi ke kita balik kampung hujung minggu ni? Anak-anak kita dah tak sabar sangat dah tu. Dah dekat tiga bulan tak balik jumpa sepupu diorang. Atuk dan nenek diorang pun dah rindu sangat tu.

Si suami masih lagi mendiamkan diri. Seolah-olah membiarkan sahaja pertanyaan demi pertanyaan itu berlalu seperti angin. Langsung tiada keinginan baginya untuk menjawab.

Isteri: Abang. Saya tanya ni.

Nada suara isterinya mula meninggi sedikit, namun tidak menengking suami yang dicintai dan dihormatinya itu.

Suami: Entahlah.

Pendek sahaja jawapan si suami. Tidak memadai dengan penantian isterinya yang menunggu dari tadi.

Isteri: Kenapa pula? Tak jadi balik ke? Dari minggu lepas lagi abang kata nak bagi keputusan hari ni. Esok dah Jumaat. Kalau nak balik, saya nak siapkan apa yang patut.

Suami: Entahlah yang.

Isteri: Entah apanya? Dah seminggu dah ni. Kalau ikut kata abang minggu lalu, hari ni abang akan bagi keputusan. Kenapa masih tiada keputusan?

Jelas benteng kesabaran isterinya semakin terhakis. Dadanya berombak kencang. Dia sudah lama tidak berjumpa mak ayahnya. Apabila PKPP dilaksanakan, dia telahpun berjanji dengan mak dan ayahnya untuk balik pada minggu itu. Perbincangan dengan suaminya telah bermula dari minggu sudah lagi. Hari ini, si suami telah berjanji untuk memberikan keputusan. Dan keputusan itulah yang ditagihnya ketika itu.

Suami: Abang dah ada keputusannya, cuma abang tak boleh nak beritahu lagi pada sayang.

Isteri: Kenapa tak boleh?

Suami: Ada beberapa perkara lagi nak difikirkan. Abang nak kena tanya beberapa orang lagi.

Isteri: Eh... Kita yang nak balik ke, orang lain? Kenapa nak kena tanya orang pula? Kata dah buat keputusan?

Suami: Memanglah abang dah buat keputusan. Tapi keputusan abang ni nak kena tanya juga kepada beberapa orang lagi.

Isteri: Keputusan kita nak balik kampung pun nak kena tanya orang jugak ke? Dah macam nak isytihar siapa Perdana Menteri baru pula untuk kerajaan baru, sampai nak kena tanya orang lain juga walau dah ada keputusan.

Si isteri bernada sinis. Dia memerli suaminya yang masih tidak mampu membuat keputusan. Baginya, mudah sahaja. Jika suami berani mengambil risiko untuk balik ke kampung dan berhadapan dengan kemungkinan membawa pulang virus COVID-19, tentu sahaja keputusan telah diambil dan mereka akan balik pada hujung minggu ini. Dan jika tidak berani, tentu juga suaminya telah memutuskan untuk membatalkan sahaja perancangan itu dengan tegas. Mungkin melaksanakannya pada waktu lain pula.

Si isteri tidak kisah dengan keputusan yang negatif. Namun, dia mahukan ketegasan suaminya dalam membuat keputusan. Bukan seperti sekarang menyebabkan dia tertanya-tanya. Anak-anaknya juga ternanti-nanti.

Si suami ditinggalkan. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Ini bukan kali pertama suaminya bersikap begitu. Sudah banyak kali. Keputusannya tidak tegas. Berkali-kali juga keputusan diambil, dibatalkan kemudiannya. Dia sudah bosan. Anak-anak juga tentu sudah bosan.

Si suami terus merenung jauh tanpa tujuan, ditinggalkan keseorangan di beranda rumah, di pinggir sebuah lautan, berhampiran kota metropolitan.


Coretan rasa:

adlienikman
18 Jun 2020
Bandar Baru Nilai

Ulasan

Catatan Popular