Eh... Lain pula jadinya...

Baharu 5 hari yang lalu saya tulis tentang bagaimana pelanggaran etika berpakaian di pejabat kerajaan menjadi isu murahan. Selang beberapa ketika, satu lagi isu tentang etika berpakaian kecoh.

Kali ini melibatkan sukan!!!

Sebenarnya, jauh di lubuk hati ini sedih apabila mengenangkan kemenangan kita di dalam sukan (yang tersebut) juga adalah kekalahan kita sebagai Muslim.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Tak mengapa. Masing-masing miliki pandangan sendiri dan ia adalah percuma.

1. Adakah salah andai pihak yang berkenaan meletakkan had kepada atlit Muslim dalam bersukan?

Kita mewar-warkan ke serata dunia malah dunia Islam mengenali Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh! Tapi kita masih gagal meleraikan ikatan sekularisme dan liberalisme dalam mendokong negara Islam ini.

Bagi saya, kita harus meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh atlit Muslim. Malah, beberapa acara sukan yang mencemarkan imej Muslim juga harus disekat daripada disertai oleh atlit Muslim.

2. Mengapa Muslim dilarang daripada menyertai pertandingan ratu cantik di Malaysia dan ia boleh dipatuhi?

Dari maklumat e-fatwa, JAWI telah mewartakan hukum haram kepada Muslim untuk menyertai sebarang pertandingan ratu cantik. Ia telah diwartakan pada 8 Februari 1996. Namun, keputusan yang diberikan itu tidak disertakan bersama penjelasan yang lebih terperinci.

Apakah sukan gimnastik/terjun papan anjal/renang lebih baik dan bersifat harus disertai berbanding pertandingan ratu cantik? Sedangkan sukan ini memerlukan atlit berpakaian songsang. Dari badan ke tangan elok berbungkus. Dari kangkang ke hujung kaki terbogel.

Ada juga yang mempersoalkan kreadibiliti masyarakat yang membawa isu ini (pakaian atlit)? Salahkah masyarakat menegur?

3. Pelakon melampaui batas?

Begitu juga dengan pelakon-pelakon masakini. Masing-masing bersungguh-sungguh menghayati watak dan melaksanakan tugas sebagai pelakon.

"Saya hanya menunaikan tanggungjawab saya sebagai pelakon."

"Saya mahu menjadikan watak saya itu berkesan."

"Saya hanya melaksanakan arahan pengarah."

"Dah skrip tulis begitu, bagaimana pula saya nak tolak?"

Suatu ketika dahulu, (saya masih kecil) ada banyak pertikaian daripada para ulama dan ustaz tentang cara lakonan antara yang bukan mahram (walaupun melakonkan watak sebagai mahram). Teguran itu dilaporkan di dada akhbar. Kini teguran-teguran itu semakin sepi dan sunyi.

Sebagai seorang manusia, saya juga suka melihat kecantikan tubuh wanita. Tetapi sebagai seorang Muslim, saya cuba mendidik hati saya agar tidak terus-terusan hitam. Bantulah saya. Iman saya senipis kulit bawang.

adlienikman
15 Jun 2015-

Ulasan

Catatan Popular