Adakah Tanggungjawab Korporat Sekadar Kedermawanan?
Bulan Ramadhan bakal kunjung tiba. Umat Islam di seluruh dunia diwajibkan berpuasa untuk menyatakan ketakwaan dan pengabdian diri kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa. Mereka juga digalakkan agar menambahkan perbuatan baik dan memperbanyakkan berbuat kebajikan kepada insan lain. Segala-galanya adalah untuk mendapatkan keredhaan dari-Nya.
Dalam kesibukan masyarakat Muslim di Malaysia mempersiapkan diri untuk mengharungi bulan Ramadhan yang mencabar, ada terdapat banyak ruang yang dapat diintai oleh orang-perseorangan mahupun syarikat-syarikat korporat untuk berbakti kepada masyarakat. Pada waktu sebeginilah, banyak tawaran berbuka puasa secara percuma di hotel-hotel dihadiahkan buat anak-anak yatim. Bahkan ada juga yang menawarkan pemberian pakaian dan persiapan untuk berhari raya kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Persoalannya, adakah keadaan sebegini boleh dikategorikan sebagai melunaskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat? Sejauh manakah tanggungjawab sosial itu dipenuhi oleh individu dan syarikat-syarikat serta badan-badan korporat?
Tanggungjawab sosial bolehlah ditafsirkan sebagai kewajipan sesuatu organisasi untuk menyumbang kepada anggota masyarakat . Organisasi itu pula perlulah peka kepada keperluan masyarakat. Tanggungjawab sosial ini tidak boleh dilaksanakan ibarat melepaskan batok di tangga. Setiap organisasi perlu mempunyai sikap kebertanggungjawaban ke atas komuniti dan mampu menilai keperluan masyarakat serta hak-hak yang diperuntukkan kepada mereka sekaligus menjadikannya sebagai asas dalam perlaksanaan program-program yang berteraskan tanggungjawab sosial ini. Mungkin di atas dasar tersebut, Suruhanjaya Eropah (European Commission) menterjemahkan tanggungjawab sosial sebagai “tanggungjawab syarikat dalam memberi kesan kepada masyarakat”.
Sementelah itu, satu badan piawai dunia yang terkenal, International Organization for Standardization (ISO) juga telah menyediakan satu garispanduan untuk memastikan tanggungjawab sosial korporat ini dilaksanakan dengan betul dan berkesan. ‘ISO 26000 – Social Responsibility’ disediakan khusus sebagai rujukan kepada syarikat korporat untuk beroperasi dalam suasana persekitaran yang mesra masyarakat. Hal ini kerana, setiap organisasi tidak dapat berdiri sendiri. Di Malaysia, ia wujud di dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Bagi meneruskan kemandirian syarikat di dalam masyarakat yang pelbagai, satu interaksi yang berkesan perlu diwujudkan oleh organisasi itu sendiri.
Oleh kerana itu, panduan seperti yang disediakan oleh ISO ini banyak memberi bantuan kepada syarikat korporat dalam membudayakan masyarakat di dalam organisasi. ISO 26000 memperincikan maksud tanggungjawab sosial selain membantu syarikat-syarikat perniagaan dan organisasi mempraktikkan prinsip-prinsip yang diketengahkan dalam menjayakan program berasaskan tanggungjawab sosial tersebut.
Berdasarkan kepada definisi dan takrifan badan-badan seperti ini (EU dan ISO), tanggungjawab sosial sama sekali tidak terhad kepada kedermawanan sahaja. Malah, ia merangkumi satu pola perhubungan yang lebih meluas dan komprehensif. Ia juga tidak terbeban kepada syarikat-syarikat korporat dan organisasi yang besar sahaja tetapi turut menjadi tanggungjawab kepada semua jenis syarikat atau organisasi yang wujud.
Selain daripada berderma dan bersedekah baik dari segi kewangan, pakaian, makanan dan sebagainya yang lain, ada beberapa aspek lagi yang boleh dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai sumbangan dalam konteks tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat. Aspek-aspek tersebut adalah seperti dinyatakan di bawah:
• Bantuan kewangan, pembangunan fasiliti dan peluang pekerjaan yang seimbang
• Pemeliharaan alam sekitar dan implementasi Teknologi Hijau
• Bantuan latihan usahawan, prasarana dan peluang perniagaan
• Akses pendidikan bermatlamat
Bantuan Kewangan, Pembangunan Fasiliti dan Peluang Pekerjaan yang Seimbang
Di dalam aspek bantuan kewangan dan pembangunan fasiliti, ia adalah satu bentuk bantuan yang boleh memberi manfaat yang banyak kepada kumpulan sasaran. Kebiasaannya, kumpulan sasaran ini adalah anak-anak yatim, keluarga miskin, mangsa bencana alam atau masyarakat yang memerlukan fasiliti seperti surau, dewan orang ramai dan sebagainya.
Bantuan kewangan seperti ini boleh dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan yang kurang berkemampuan. Sebagai contoh, Johor Corporation dan Sime Darby adalah di antara syarikat korporat yang telah berperanan dalam memberi bantuan kewangan dan fasiliti kepada individu mahupun organisasi yang berkaitan. Briged Wakaf yang dilaksanakan oleh Johor Corporation memberi peluang kepada insan yang kurang bernasib baik untuk bersama-sama menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Begitu juga dengan yang diusahakan oleh Sime Darby melalui strategi dan polisi yang memberi penekanan yang antara lainnya kepada mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Terdapat banyak lagi syarikat korporat yang lain yang melaksanakan program-program berasaskan bantuan kewangan dan fasiliti untuk golongan yang kurang bernasib baik. Ada di antara organisasi tersebut yang menyediakan bantuan makanan dan minuman kepada golongan yang bergelandangan di ibu kota seperti yang dilaksanakan oleh Bank Islam melalui kerjasama mereka dengan Reach Out Malaysia. Ada juga yang membina surau di taman-taman perumahan atau menaiktaraf masjid yang telah usang. Ada juga di antara organisasi ini yang membina hentian bas atau taman-taman awam.
Syarikat-syarikat gergasi di Malaysia ini juga banyak yang menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan melalui pelbagai skim latihan yang diperkenalkan. Sebagai contoh, salah satu daripada pelbagai peluang pekerjaan dan latihan yang diberikan adalah GEMS yang dibangunkan oleh Khazanah Nasional Berhad. Para graduan yang baru menamatkan pengajian mereka dipersiapkan untuk menghadapi permintaan pekerjaan. Dalam program ini, mereka dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang harus dimiliki oleh tenaga kerja baru seperti yang diharapkan oleh organisasi yang akan menawarkan tempat.
Pemeliharaan alam sekitar dan implementasi Teknologi Hijau
Dalam situasi dunia tanpa sempadan serta globalisasi dalam semua aspek kehidupan, teknologi telah merentasi sempadan tanpa had dan halangan. Kebanjiran pelabur dari negara-negara maju ke negara yang membangun serta negara dunia ketiga memberi kesan dalam memaksimumkan penggunaan teknologi ke tahap yang lebih tinggi.
Syarikat-syarikat yang ditubuhkan berasaskan perindustrian perlu memainkan peranan dalam memastikan tanggungjawab sosial mereka terhadap penduduk dan persekitaran malah muka bumi ini tidak terkesan dengan aktiviti industri mereka. Pemeliharaan alam sekitar bagi mengekalkan kemandirian hidupan lain selain manusia perlu dalam memastikan keseimbangan di dunia. Aktiviti perindustrian yang kebiasaannya memerah hasil bumi pada kadar optimum seringkali membentuk tindak balas berangkai kepada rantaian kehidupan.
Sebagai contoh, industri pembuatan perabot memerlukan sumber kayu yang diperolehi melalui pembalakan. Aktiviti pembalakan pula tidak hanya dilakukan dengan kelulusan undang-undang setempat malah ada juga yang dijalankan secara haram dan bersindiket. Dalam keadaan sebeginilah, khazanah bumi iaitu kayu-kayan dari pepohon yang menghijau yang bertindak sebagai sumber utama kestabilan atmosfera dan kandungan gas-gas di dalam udara akan hilang sedikit demi sedikit.
Apabila tumbuhan hijau seperti ini terus ditebang secara berleluasa, keseimbangan udara yang penting kepada kehidupan seperti oksigen dan karbon dioksida serta nitrogen akan terganggu. Dengan gangguan sebegini berlaku, pemanasan global akan semakin menekan kehidupan di dunia. Lapisan ozon akan semakin menipis. Kemandirian manusia untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian akan teruk terganggu. Tidak mustahil, manusia akan pupus kerana tidak dapat beradaptasi dengan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Bagaimana pula dengan aktiviti-aktiviti perindustrian lain yang sering merengut kebimbangan masyarakat seperti carigali petroleum, pengilangan minyak sawit, pembuatan plastik dan lain-lain lagi aktiviti perindustrian yang merisikokan keselamatan manusia? Aktiviti-aktiviti seperti ini andai tidak dikawal akan mendatangkan kesan negatif kepada bukan sahaja sumber bumi, malah kepada keseimbangan alam yang akan turut memberi impak buruk kepada kesejahteraan hidup.
Oleh kerana itu, setiap organisasi yang menjalankan aktiviti perindustrian dan perniagaan perlu mempunyai polisi yang menekankan tentang penjagaan alam sekitar. Ia boleh dilakukan sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat. Sebagai contoh, syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti carigali minyak di telaga-telaga minyak di seluruh dunia perlu menerapkan aspek penjagaan alam sekitar dan meminimakan pencemaran. Kejadian tumpahan minyak di lautan perlu dielakkan dengan melaksanakan mekanisma pencegahan dalam pengoperasian mereka. Pembebasan gas-gas yang berbahaya kesan daripada pembakaran lebihan gas asli yang dikeluarkan dari perut bumi harus diminimakan dengan menapisnya sebaik mungkin.
Bukan itu sahaja, aktiviti perniagaan kecil-kecilan seperti di pasar-pasar malam turut dituntut untuk menjalankan peranan mereka terhadap alam sekitar dan masyarakat setempat. Mereka perlulah lebih prihatin akan kebersihan tempat perniagaan mereka selepas selesai aktiviti mereka. Sampah-sarap perlu dikumpulkan dalam bekas agar mudah dikutip dan dilupuskan oleh pekerja organisasi yang dipertanggungjawabkan. Para peniaga juga seharusnya tidak membuang sampah-sarap di sekeliling kawasan perniagaan mereka atau mencampakkannya ke dalam aliran sungai. Mereka perlu juga memikirkan tentang kesan pencemaran yang mereka lakukan selain daripada keuntungan yang dipungut saban malam.
Bantuan latihan usahawan, prasarana dan peluang perniagaan
Program ini yang hampir menyerupai program latihan graduan baru, memberi peluang kepada orang ramai untuk memperkembangkan kebolehan dan menyiapkan diri untuk bergelar usahawan. Syarikat-syarikat korporat yang berasaskan perniagaan sama ada di peringkat antarabangsa mahu pun tempatan boleh mengetengahkan pemain-pemain baru dalam industri perusahaan melalui program-program latihan yang berterusan.
Dalam pada itu juga, prasarana dan peluang-peluang untuk menikmati kek ekonomi turut dikongsi bersama. Syarikat mahu pun organisasi boleh menyediakan prasarana seperti bengkel membuat mi, bengkel membaiki motor dan kereta, atau kedai berasaskan francais untuk usahawan baru yang telah dilatih. Secara tidak langsung, ia akan menambahkan usahawan tempatan dalam merebut peluang perniagaan secara produktif.
Sebagai contoh, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menawarkan peluang latihan pembangunan usahawan dan perniagaan kepada semua usahawan yang berdaftar di bawah mereka. Mereka ini adalah usahawan yang mendapat pembiayaan daripada PUNB sebagai salah satu daripada kemudahan pembiayaan. PUNB sebagai organisasi yang bertanggungjawab, menyediakan latihan kepada usahawan untuk membantu mereka memantapkan pengetahuan semasa dalam perniagaan melalui program latihan, seminar dan aktiviti jaringan perniagaan.
Akses Pendidikan Bermatlamat
Salah satu daripada Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Ia dilaksanakan sebagai satu pendekatan baru pentadbiran yang bermatlamatkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian dengan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.
Dalam isu ini, syarikat korporat dan organisasi boleh membantu kerajaan melaksanakan dasar ini pada peringkat akar umbi. Pelbagai program boleh dilaksanakan untuk anggota masyarakat terutamanya yang berada di luar bandar.
Sebagai menyahut dasar kerajaan tersebut, FELDA di bawah salah satu pasukan pengurusannya telah menubuhkan Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Generasi Baru . Jabatan ini dipertanggungjawabkan untuk memajukan bidang pendidikan, generasi baru dan sukan di kawasan tanah rancangan FELDA. Ia dilaksanakan seawal kanak-kanak di sekolah rendah sehinggalah mereka yang melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Selain daripada FELDA, ada organisasi seperti Khan Academy yang bekerjasama dengan Brickfields College menghasilkan Edunation , satu bentuk pembelajaran percuma secara atas talian (online). Tujuan mereka adalah untuk memberikan satu bentuk pendidikan yang boleh diakses oleh semua pelajar sebagai persiapan menghadapi peperiksaan tanpa perlu mengeluarkan belanja yang tinggi menghadiri kelas tambahan (tutor dan tuisyen).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, adalah tidak wajar andai menganggap sifat kedermawanan sebagai satu-satunya tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi oleh mana-mana organisasi atau syarikat korporat mahu pun orang perseorangan. Terdapat banyak lagi aspek lain yang boleh dipertimbangkan untuk memberi kesan yang baik kepada masyarakat dalam berkongsi kesejahteraan hidup di dunia ini. Segalanya terpulang kepada entiti tersebut sama ada mahu melaksanakannya atau bersembunyi di belakang sumbangan cek yang besar semasa menyerahkannya di hadapan wartawan.
Rujukan
Cikguruby. Bab 5: Etika dan Tanggungjawab Sosial. (April, 16, 2012). http://pengajianperniagaan2.blogspot.com/2012/04/bab-5-etika-dan-tanggungjawab-sosial.html.
EC. Enterprise and Society: Sustainable and responsible business – Corporate Social Responsibility (CSR) (June, 21, 2013). http://ec.europa.eu/enterprise/policies/sustainable-business/corporate-social-responsibility/index_en.htm
ISO. ISO 26000 – Social responsibility. (November 2010). http://www.iso.org/iso/home/standards/iso26000.htm
Bank Islam. Bank Islam Reaches Out To The Homeless. (December, 7, 2011). Bank Islam Malaysia Berhad. http://www.bankislam.com.my/en/news/Pages/Bank%20Islam%20Reaches%20Out%20To%20The%20Homeless.aspx
PUNB. Perkhidmatan – Latihan. (July, 6, 2013). Perbadanan Usahawan Nasional Berhad. http://www.punb.com.my/v2/index.php?option=com_rsevents&view=calendar&Itemid=2&lang=ms
1Klik. Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). (July, 5, 2013). Portal 1 Klik – Jabatan Penerangan. http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/nkra/4808-pointers-6-bidang-keberhasilan-utama-negara-nkra.html
FELDA. Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Generasi Baru. (February, 21, 2013). Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan – FELDA. http://www.felda.net.my/index.php/en/2013-01-31-07-09-39/2013-01-31-09-08-55/jabatan-pendidikan-dan-pembangunan-generasi-baru
Edunation. (April, 1, 2013). Edunation.my. http://www.edunation.my/hi-welcome-to-edunation/

Ulasan