Bingkisan Pejuang

Kita di sini sama sahaja
baik kulitmu lebih cerah dan mulus
walau parasmu indah sehingga menyentuh jiwa
juga gayamu bak maharaja sepelusuk alam
namun kedaifan tetap mengongkong kita
di bawah satu kuasa
Yang Maha Hebat dan Kaya

Kita di sini mengemis budi
meminta-minta pada Ilahi yang ‘mendepangkan tangan-Nya’
yang mengabulkan tiap titipan doa sesudah solat
walau kadang-kala kita merasakan bahawa doa itu tidak didengari-Nya
Namun siapakah kita untuk mempersoalkan
Dia ‘berbicara’ dalam ‘bahasa-Nya’ yang tersendiri
Dia telah mendengar luahan bicaramu
biar Dia menentukan hasil buatmu
dan kita jangan terus kedekut untuk bermunajah dan berdoa
agar hari esok terus datang bersama limpahan rahmat
dan sentiasa dimurahi dengan kurniaan-Nya

Kita di sini insan harapan yang mendukung cita-cita bangsa
Kitalah penyahut cabaran wawasan
merempuh tiap halangan yang mendatang dalam zaman yang membingungkan
Sukar untuk membezakan mana yang baik mana yang buruk
walau tidak bermakna kita bukan mumaiz
dan impian di hari muka
kita saluti dalam tiap doa dan munajah kepada-nya

Kita di sini adalah mujahid agama-Nya
Memikul beban menggalas suruhan
Biar apapun tanggungjawab yang membebani
Dan peranan yang dimainkan
Kitalah yang menjunjung warisan Muhammad yang agung
Dan dengan bekalan kalam-Nya yang terunggul
Kalimah Allah pasti terus mekar di bumi ciptaan-Nya

Ayuh bersamalah kita semua
berganding bahu mencurah tenaga dan bakti
agar negara yang makmur ini terus kekal aman
agar rakyat hidup bahagia dan sentosa
dalam keredhaan dan kasih sayang-nya
Bukan bahagia yang menderitakan
bersama harta seluas lautan namun tidak dibelanjakan pada jalan-nya
bersama ilmu setinggi lapisan-lapisan langit namun tidak dipergunakan
bersama kuasa sehebat alam namun dikhianati pada yang mendokonginya

Dan ingatlah kita hanyalah hamba
yang dalam perjalanan menuju hakikat kehidupan
bersyukurlah andai dapat berteduh di bawah lembayung-Nya
dalam masa yang masih ada
insafilah kedaifan dan kekurangan
insafilah kedosaan dan kemaksiatan
kerana di akhir perjalanan ini nanti
kita akan dipersoalkan segalanya
sama ada kita adalah penentang fitrah ciptaan-Nya
atau pejuang?

21 April 2010
(Diubahsuai sedikit daripada sajak Kita Yang Kerdil)

Ulasan

Catatan Popular