Sensasi dan Sensitiviti

Saban hari kita dihidangkan dengan berita kematian yang tragis. Media sepertinya berlumba-lumba menyampaikan berita kematian baik secara kemalangan malahan pembunuhan. Sehingga kadang-kala kita tertanya-tanya, selamatkah lagi hidup kita di negara ini?

Bukan salah media melaporkan berita yang berlaku. Apa sahaja kejadian yang berlaku di dalam negara adalah berita yang perlu disampaikan oleh media. Benar, ia sudah menjadi tanggungjawab mereka para pengamal media. Namun, ada ketikanya media seharusnya menapis bahan yang disiarkan terutamanya di media elektronik.

Gambar-gambar mangsa yang dibunuh dengan kejam seharusnya tidak dijadikan tarikan utama akhbar, mahupun siaran berita melalui televisyen. Keadaan mangsa yang sungguh menyedihkan seperti itu tidak seharusnya menjadi tontonan ramai. Sikap prihatin perlu ada dan diamalkan oleh para pengamal media. Prihatinlah kepada anggota keluarga yang menanggung kesedihan dengan kematian insan tersayang. Mereka akan bertambah menderita dengan pendedahan secara terus-terusan keadaan mayat mangsa yang dibunuh kejam. Andai kita di tempat mereka, adakah itu sesuatu yang boleh kita hadam?

Berpada-padalah dalam melaporkan berita. Jagalah sensitiviti dan perasaan mereka yang terlibat. Sensasi bukanlah sesuatu yang patut dikejar tetapi yang diutamakan adalah nilai berita dan implikasinya kepada kesejahteraan rakyat.


merahberapi
HSgB
5 Ogos 2013

Ulasan

Catatan Popular